Pencapaian PM jamin negara maju

LocalPolitics
17 Nov 2022 • 7:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pemberian vaksin telah mengurangkan kes Covid-19 yang tinggi seterusnya memulihkan semula ekonomi negara.

image is not available

SHAH ALAM - Kewibawaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menangani beberapa isu selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Ogos 2021 dilihat mampu mengembangkan negara ke arah yang lebih maju.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pelbagai pencapaian telah dilakukan dalam menyelesaikan beberapa isu terutamanya ketika negara dilanda Covid-19.

Menurutnya, ketika itu ekonomi sangat teruk kerana sektor tersebut telah ditutup hampir sepenuhnya.

“Namun, Bank Negara mengisytiharkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga mencapai 14.2 peratus menjadikan negara sebagai salah satu yang terbaik dari segi pencapaian KDNK.

“Daripada lima peratus pada suku pertama menjadi 8.9 peratus pada suku kedua dan meningkat 14.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.

“Kita juga dapat mengurangkannya masalah pengangguran sehingga 3.6 peratus. Kalau kurang daripada 4 peratus ia dianggap sebagai guna tenaga kerja penuh, bermakna pengangguran juga kita dapat kurangkan,” ujarnya ketika bual bicara khas bersama Perdana Menteri pada Selasa.

Tambah Ismail Sabri, sektor pemborongan dan peruncitan juga meningkat dengan begitu tinggi ketika pemerintahannya.

“Oleh itu, dari segi ekonomi dapat diselesaikan berbanding negara-negara lain.

“Saya mengambil kerajaan ini pada waktu yang sangat sukar. Kes Covid-19 sebanyak 24,000 sehari dengan kematian ratusan setiap hari,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan solidariti parti mesti diperkukuh dan fokus untuk memenangi PRU15.

“Apa yang penting adalah BN perlu menguasai semula kerajaan supaya kita dominan.

“Walaupun agak kecewa dan sedih kerana terdapat kawan-kawan saya yang tergugur, namun itu tidak menjadi halangan kepada kita untuk terus bergerak ke arah kemenangan,” ujarnya.

View Original Article