JERANTUT – Seorang lelaki Orang Asli maut dipercayai terjatuh dari pokok tualang ketika sedang mengambil madu lebah di kawasan hutan di Lata Meraung, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, mangsa, Yus Bi, 44, dari Kampung Orang Asli Sungai Kiol disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, hasil siasatan dan temu bual saksi mendapati mangsa bersama tujuh rakan masuk ke dalam hutan tersebut untuk mencari madu lebah.
“Mangsa memanjat pokok tualang setinggi kira-kira 12 meter dan terjatuh ketika cuba memotong sarang lebah untuk mengambil madu.
“Akibat kejadian itu, mangsa tidak sedarkan diri,” katanya.
Azahari berkata, susulan kejadian, empat rakannya telah keluar dari hutan untuk mencari bantuan dan melaporkan kejadian, manakala tiga lagi menunggu di lokasi.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa keluar dari lokasi oleh keluarga dengan bantuan penduduk kampung.
“Mangsa diusung keluar sejauh kira-kira satu kilometer dengan berjalan kaki kerana laluan tidak boleh dilalui kenderaan.
“Mayat lelaki itu dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk dibedah siasat,” katanya.
Jelas beliau, keputusan bedah siasat mendapati kematian mangsa berpunca daripada kecederaan pelbagai akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Mayat mangsa telah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Jerantut, Leftenan Pertahanan Awam (PA) Mohd Khairi Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas untuk membantu mengeluarkan mangsa pada jam 3.28 petang.
“Susulan panggilan yang diterima daripada Hospital Jerantut itu, sepasukan anggota bersama pegawai dikerah ke lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah.
“Anggota tiba pada jam 4.14 petang untuk operasi membawa keluar mangsa.
“Mangsa yang telah meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
