
Pencarian Berakhir, Wanita Temui Semula Bekas Guru Selepas 36 Tahun
Setelah menghabiskan 36 tahun mencari bekas guru sekolah menengah, seorang wanita tempatan akhirnya berhasil menemui cikgu yang pernah bermurah hati membayar yuran universitinya pada suatu ketika dahulu.
Lapor Yahoo!, pencarian Norasiah Jamil akhirnya membuahkan hasil selepas catatan di Facebook miliknya tular dan ramai yang membantu mencari gurunya, Pak Lin Haw.
Dia bertekad untuk mencari Cikgu Pak kerana berasa terhutang budi dengan perbuatannya di mana beliau menjadi sistem sokongan kuat sewaktu Norasiah mula-mula mahu melanjutkan pelajaran di peringkat diploma.
Imbas kembali, pertemuan Norasiah dan Pak bermula pada tahun 1987 semasa dia belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar di Kuantan, Pahang.

“Cikgu Pak adalah Guru Tingkatan saya dan dia juga mengajar kami subjek Kimia,” katanya.
Walaupun Norasiah memperoleh keputusan yang baik untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menerima tawaran daripada Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) pada tahun berikutnya, namun wanita berusia 52 tahun itu menyatakan bahawa keluarganya tidak mampu untuk membayar yuran semester satu sebanyak RM1,200.
Disebabkan itu, Norasiah telah mempertimbangkan untuk menolak tawaran itu pada mulanya.
“Apabila Cikgu Pak mendapat tahu saya tidak menyambung pelajaran, dia melarang saya.
“Dia juga menawarkan diri untuk membantu dan memberi saya RM400 daripada jumlah yang diperlukan.
“Baki RM800 pula, bapa saya meminjam RM400 daripada saudara-mara kami.
“Manakala Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah (PIBG) menganugerahkan saya RM400 untuk keputusan SPM saya yang baik,” katanya.
Selepas Norasiah menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik dia cuba untuk mencari Cikgu Pak tetapi tidak berjaya.

“Tiada siapa yang tahu ke mana dia pergi sehingga saya membuat keputusan untuk siarkan di Facebook pada Khamis 23 Mac lalu.
“Salah seorang ahli gereja Cikgu Pak menghubungkan saya dengannya,” tambahnya.
Norasiah berkata ketika ini dia hanya menunggu Cikgu Pak untuk memaklumkan bila masa yang sesuai untuknya melawat.
“Ternyata kami berdua tinggal di Kuantan dan jarak antara kami hanyalah 10 kilometer (KM) antara satu sama lain,” ujarnya.

Ditanya mengapa dia mengambil masa yang lama untuk menyiarkan cariannya, Norasiah berkata dia tidak mempunyai sebarang gambar daripada zaman persekolahannya.
“Kesemua gambar telah dihanyutkan semasa banjir dan saya hanya sempat menjumpai sekeping gambar.
“Iaitu gambar saya dan Cikgu Pak semasa berada di rumah ibu bapa saya di Felda Lepar Hilir 3 di Gambang yang saya lampirkan pada catatan Facebook.
Sumber: Yahoo!
The post Pencarian Berakhir, Wanita Temui Semula Bekas Guru Selepas 36 Tahun appeared first on Siakap Keli.


