
SHAH ALAM - Pencarian mayat terlibat dalam nahas pesawat jenis BeeChcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina semalam sudah 95 peratus sempurna.
Ketua Poilis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata kini pencarian hanya tinggal lima peratus lagi untuk melengkapkan jasad sembilan daripada sepuluh mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.
"Sebanyak 95 peratus pencarian sudah sempurna, cuma tinggal sekitar 5 peratus baki-baki untuk melengkapkan carian.
"Mayat yang sempurna hanya satu, boleh dikatakan hampir sembilan tidak lengkap dan setakat ini kesemua sepuluh mangsa ialah lelaki," katanya dalam sidang media di lokasi kejadian pagi ini.
Beliau berkata terdapat barang-barang peribadi mangsa yang ditemui hasil daripada pencarian melibatkan kawasan 11,000 meter persegi di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina itu.
Katanya, penemuan itu termasuk jam tangan, beg, duit dan beberapa barang lain yang tidak terbakar dalam kemalangan tersebut.
Razarudin berkata, pihaknya menemui 15 cebisan manusia dan 21 barangan peribadi milik mangsa nahas seperti jam, duit, bag, yang tidak terbakar.
"Buat masa ini semua telah kita bawa ke hospital dan diserahkan kepada Unit Forensik untuk jalankan bedah siasat dalam masa terdekat," katanya.
Razarudin turut mengesahkan pihaknya telah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) daripada waris mangsa yang terlibat.
Menurut beliau, hasil daripada ujian DNA tersebut akan dipadankan dengan cebisan mayat yang ditemui bagi tujuan mengenal pasti mangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun adalah antara nama yang tersenarai dalam manifest penumpang pesawat tersebut pada jam kira-kira 2.50 petang semalam.
Turut tersenarai adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Muhammad Taufiq Mohd Zaki; dan Idris Abdol Talib.
Namun, identiti dua lagi orang awam melibatkan seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terlibat dalam nahas tersebut akan disahkan melalui siasatan polis. – Getaran, 18 Ogos 2023
