Pencarian MH370 diteruskan di Lautan Hindi, selepas hampir 12 tahun hilang

31 Dec 2025 • 12:04 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Selepas hampir 12 tahun pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal, usaha merungkai jawapan kepada salah satu misteri paling menghantui sejarah penerbangan dunia disambung pada Selasa, kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Dengan menggunakan robot laut berteknologi tinggi serta analisis data yang diperkemas, penyiasat dari Amerika Syarikat sedang mencari petunjuk di dasar laut, yang sebelum ini yang gagal ditemui oleh kerajaan, pakar dan keluarga mangsa selama lebih sedekad, lapor AFP.

MH370 berlepas dari Kuala Lumpur sejurus selepas tengah malam pada 8 Mac 2014, menuju ke Beijing dalam penerbangan enam jam yang sepatutnya berjalan lancar.

Namun, kurang daripada sejam, transponder pesawat itu terpadam, menyebabkan Boeing 777 itu hilang daripada radar awam.

Paparan radar tentera menunjukkan pesawat itu membelok ke arah barat, melintasi semula Malaysia sebelum terbang ke selatan merentasi luasnya Lautan Hindi.

Menyusul selepas itu ialah operasi pencarian paling besar dan mahal dalam sejarah penerbangan melibatkan pasukan pelbagai negara menyisir lebih 46,000 batu persegi (120,000 kilometer persegi) dasar laut di perairan luar Australia Barat menggunakan kapal, pesawat dan sonar.

Namun, ia gagal menemui apa-apa.

Operasi pencarian itu dihentikan pada 2017, meninggalkan keluarga mangsa dalam kesedihan serta misteri yang mencetuskan pelbagai teori, daripada rampasan pesawat hinggalah tindakan sengaja oleh juruterbang.

Kini, kerajaan Malaysia telah memberi lampu hijau kepada usaha baharu yang diketuai oleh syarikat robotik marin berpangkalan di Texas, Ocean Infinity, di bawah kontrak “tiada penemuan, tiada bayaran”, menurut kenyataan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Perkembangan terbaharu ini menggariskan komitmen kerajaan Malaysia dalam memberikan penutupan kepada keluarga yang terkesan akibat tragedi ini,” kata kenyataan itu.

Laporan menyebut syarikat berkenaan hanya akan menerima bayaran AS$70 juta sekiranya bangkai pesawat berjaya ditemui.

image is not available
Dron ini menggunakan sonar imbasan sisi beresolusi tinggi, pengimejan ultrabunyi dan magnetometer untuk memetakan dasar laut dalam bentuk 3D, mengesan serpihan tertanam serta mengesan kehadiran logam. - Gambar fail Chris Beerens/RAN (dw.com), 31 Disember, 2025

Fasa baharu ini, yang dijangka berlangsung sehingga 55 hari, menumpukan kepada kawasan pencarian lebih kecil seluas kira-kira 5,800 batu persegi — jauh lebih kecil berbanding usaha terdahulu — yang dikenal pasti menggunakan data satelit terkini, pemodelan hanyutan dan analisis pakar.

Ocean Infinity mengerahkan kenderaan bawah air autonomi yang mampu menyelam sehingga hampir 19,700 kaki (6,000 meter) dan kekal di dasar laut selama beberapa hari.

Dron ini menggunakan sonar imbasan sisi beresolusi tinggi, pengimejan ultrabunyi dan magnetometer untuk memetakan dasar laut dalam bentuk 3D, mengesan serpihan tertanam serta mengesan kehadiran logam.

Sekiranya terdapat pertunjuk yang menjanjikan, kenderaan kawalan jauh boleh diturunkan untuk pemeriksaan lebih dekat.

Ocean Infinity, yang mempunyai pusat kawalan di Britain, pernah mengetuai pencarian yang tidak berjaya pada 2018 sebelum bersetuju melancarkan pencarian baharu tahun ini.

AFP menghubungi syarikat tersebut untuk mendapatkan komen, namun tiada maklum balas segera diterima.

Setakat ini, hanya serpihan MH370 pernah ditemui. Sejak 2015, kurang daripada 30 kepingan yang dipercayai berasal daripada pesawat itu termasuk bahagian sayap, gear pendaratan dan fiuslaj, terdampar di pantai ribuan kilometer berjauhan, dari Réunion hingga Mozambique.

Tiada mayat pernah ditemui.

Siasatan rasmi Malaysia pada 2018 menyimpulkan pesawat itu berkemungkinan dialihkan secara sengaja daripada laluan asal, namun tidak menetapkan sebarang tanggungjawab.

Ahli keluarga dari China, Australia, Eropah dan negara lain telah bertahun-tahun memperjuangkan agar pencarian diteruskan, dengan hujahan penutupan (penemuan) bukan sahaja penting untuk mangsa yang terkorban, tetapi juga demi keselamatan penerbangan global.

Kerajaan di Beijing dan Canberra mengalu-alukan keputusan Malaysia itu serta berikrar memberi sokongan kepada sebarang usaha praktikal untuk merungkai kes berkenaan.

Warganegara China, Jiang Hui, yang kehilangan ibunya berusia 72 tahun, Jiang Cuiyun, dalam tragedi itu, memberitahu AFP awal bulan ini bahawa beliau kekal tekad untuk mendapatkan jawapan, walaupun kecewa dengan pihak berkuasa.

“Menemui pesawat itu, menemui insan tersayang saya, dan menemui kebenaran — saya percaya ini adalah sesuatu yang mesti saya lakukan dalam hidup saya,” katanya. - 31 Disember, 2025

The post Pencarian MH370 diteruskan di Lautan Hindi, selepas hampir 12 tahun hilang appeared first on Scoop.