Pencegahan kunci utama bendung pembunuh senyap rakyat Malaysia

LocalHealth & Fitness
6 May 2026 • 2:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pencegahan kunci utama bendung pembunuh senyap rakyat Malaysia
Seramai 20 ahli Kelab Media Putrajaya menjalani ujian saringan kesihatan di sini pada Rabu.

PUTRAJAYA - Pendekatan pencegahan terus menjadi strategi paling utama Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengekang peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) yang disifatkan sebagai 'pembunuh senyap’ dalam kalangan rakyat negara ini.

Ketua Sektor Pencegahan dan Kawalan Kordiorenal Metabolik KKM, Dr R Sivarajan berkata, pengesanan awal melalui saringan kesihatan mampu mengelakkan komplikasi serius termasuk penyakit buah pinggang dan jantung.

Menurutnya, inisiatif Saringan National Health Screening Initiative (NHSI) yang dilaksanakan menyasarkan dua juta saringan setahun melibatkan rakyat berumur 18 tahun ke atas di seluruh negara.

“Program hari ini merupakan kesinambungan kepada program NHSI di mana kita sasarkan saringan sebanyak dua juta setahun meliputi seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sesi saringan kesihatan bersama Kelab Media Putrajaya (KMP), di sini pada Rabu.

Tegasnya, pengesanan awal membolehkan rawatan dimulakan dengan lebih cepat sekali gus mengurangkan risiko komplikasi kronik.

“Jika kesan awal, kita boleh rujuk mereka untuk rawatan lebih awal supaya dapat elak komplikasi seperti penyakit buah pinggang dan jantung,” jelas Dr Sivarajan.

Terdahulu, seramai 20 ahli KMP hadir menjalani ujian saringan kesihatan yang melibatkan kerjasama KKM dan National Cancer Society Malaysia (NCSM) bangunan kementerian.

Antara saringan adalah tekanan darah tinggi, hepatatis B & C, kiraan darah penuh (FBC), glukosa, fungsi hati, spesifik prostat, pap smear, dan pemeriksaan payudara klinikal.

Dalam pada itu, Sivarajan menjelaskan pencegahan bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah mengurangkan beban kewangan kerajaan akibat kos rawatan yang meningkat apabila penyakit berada pada tahap serius.

“Bila melibatkan komplikasi, kos rawatan meningkat. Jadi dengan pencegahan, kita dapat kurangkan impak kos kepada kerajaan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan saringan kesihatan di bawah NHSI disediakan secara percuma di semua klinik kesihatan kerajaan serta melalui pengamal perubatan am (GP) di bawah program PeKa B40.

“Inisiatif ini adalah percuma untuk rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Mereka boleh hadir ke mana-mana klinik kesihatan untuk menjalani saringan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar tidak menangguhkan pemeriksaan kesihatan kerana tindakan awal mampu menjadi benteng utama mengekang penularan penyakit kronik dalam masyarakat.

View Original Article