Soalan:
Ayah saya merupakan seorang pesara guru, telah meninggal dunia awal tahun ini. Baru-baru ini berlaku pertikaian antara emak dan abang saya apabila abang meminta agar pencen arwah difaraidkan kepada anak-anak. Emak tidak bersetuju kerana pencen tersebut merupakan satu-satunya sumber pendapatan dan beliau masih menanggung adik bongsu yang bersekolah. Bolehkah dijelaskan mengapa pencen tersebut menjadi hak emak, dan apakah kedudukan waris yang lain?
Jawapan:
Bagi memahami isu ini dengan lebih jelas dan tepat, adalah penting untuk kita kembali kepada konsep asas dalam pewarisan harta mengikut hukum syarak. Dalam Islam, pembahagian harta secara faraid hanya melibatkan harta pusaka, iaitu harta yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya. Ini merangkumi aset seperti hartanah, simpanan kewangan, pelaburan serta harta alih lain yang berada di bawah pemilikan si mati ketika hidup.
Definisi pencen bagi penjawat awam di Malaysia merujuk kepada satu bentuk faedah persaraan yang dibayar oleh kerajaan kepada pegawai yang layak sebagai pengiktirafan terhadap tempoh perkhidmatan mereka. Di bawah Akta Pencen 1980, pencen tidak dianggap sebagai harta milik mutlak si mati yang boleh diwariskan, sebaliknya merupakan satu manfaat berterusan yang tertakluk kepada syarat dan kelayakan tertentu.
Secara prinsipnya, pencen dibayar sepanjang hayat pesara, dan apabila pesara meninggal dunia, bayaran tersebut tidak menjadi sebahagian daripada harta pusaka. Sebaliknya, ia boleh diteruskan dalam bentuk pencen terbitan kepada pasangan yang sah seperti balu atau duda, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pencen bukanlah harta yang ditinggalkan oleh si mati, tetapi satu faedah yang diberikan oleh kerajaan kepada penerima yang layak bagi memastikan kelangsungan hidup selepas kehilangan pasangan. Pencen terbitan yang diterima selepas kematian pesara kerajaan merupakan satu bentuk manfaat yang disediakan oleh kerajaan kepada penerima tertentu sebagai jaminan kewangan.
Ia bukan harta milik si mati dan tidak boleh diklasifikasikan sebagai harta pusaka. Perkara ini diperuntukkan secara jelas di bawah Akta Pencen 1980 yang menetapkan bahawa pencen terbitan diberikan kepada pasangan yang sah sebagai penerima utama. Tujuan utama peruntukan ini adalah untuk memastikan kebajikan pasangan yang ditinggalkan terus terpelihara selepas kematian pesara.
Dalam keadaan tertentu, anak-anak yang masih dalam tanggungan juga boleh menerima manfaat tersebut, namun keutamaan tetap diberikan kepada pasangan. Ini menunjukkan bahawa pencen tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka biasa.
Balu pula merupakan penerima sah pencen tersebut. Oleh itu, pencen tersebut adalah hak beliau sepenuhnya dari sudut perundangan dan tidak boleh dituntut oleh waris-waris lain sebagai harta pusaka. Justeru, bayaran pencen yang diterima oleh balu tidak wajib difaraidkan.
Dari perspektif syariah, prinsip yang sama turut terpakai dalam isu yang diutarakan ini. Harta pusaka hanya merangkumi harta yang dimiliki oleh si mati semasa hidup. Manfaat yang hanya wujud selepas kematian dan diberikan kepada pihak tertentu tidak termasuk dalam pembahagian faraid.
Selain itu, masyarakat kita juga perlu mengetahui tatacara asas bagi membuat tuntutan pencen terbitan ini. Secara umumnya, balu perlu mengemukakan permohonan pencen terbitan melalui jabatan atau agensi tempat si mati berkhidmat sebelum bersara, atau terus kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai pihak bertanggungjawab yang menguruskan pencen penjawat awam.
Antara dokumen yang lazim diperlukan termasuk sijil kematian si mati sebagai bukti kematian, sijil nikah bagi mengesahkan hubungan perkahwinan yang sah, kad pengenalan pemohon serta dokumen berkaitan perkhidmatan si mati seperti penyata perkhidmatan atau surat pengesahan persaraan. Dalam keadaan tertentu, dokumen tambahan mungkin diperlukan bergantung kepada kes dan keperluan pihak berkuasa.
Kelengkapan dokumen memainkan peranan penting dalam mempercepatkan proses permohonan. Kegagalan menyediakan dokumen yang lengkap boleh menyebabkan kelewatan dalam kelulusan dan penyaluran bayaran pencen kepada balu.
Dalam kebanyakan keadaan, proses kelulusan mengambil masa antara satu hingga tiga bulan bergantung kepada kelengkapan dokumen dan kecekapan urusan pentadbiran. Sekiranya semua dokumen lengkap, bayaran pencen akan mula disalurkan kepada balu, termasuk bayaran tunggakan bagi tempoh yang belum dibayar bermula daripada tarikh kematian pasangan.
Namun begitu, kelewatan pembayaran juga sering berlaku apabila waris tidak mengetahui prosedur yang betul atau gagal menyediakan dokumen yang lengkap. Perkara ini sekali lagi menunjukkan kepentingan pengetahuan asas dan persediaan awal dalam menguruskan hal berkaitan kematian. Realiti yang berlaku dalam masyarakat hari ini menunjukkan masih ramai yang tidak memahami perbezaan di antara harta pusaka dan manfaat seperti pencen.
Tuntutan sering dibuat berdasarkan tanggapan sendiri tanpa merujuk kepada kedudukan sebenar dari sudut undang-undang. Keadaan ini akhirnya mencetuskan pertikaian sehingga mencetuskan konflik keluarga yang berpanjangan. Dalam banyak kes, konflik bermula dengan isu kecil seperti pencen, namun berkembang kepada perkara lain seperti pembahagian rumah, simpanan wang dan tanah sehingga menjejaskan hubungan kekeluargaan.
Perlindungan sosial
Lebih menyedihkan apabila balu yang sepatutnya dilindungi terpaksa berhadapan dengan tekanan emosi yang dicetuskan oleh waris yang mendesak balu untuk berkongsi satu-satunya sumber pendapatan setelah kematian suami. Dalam keadaan masih menanggung anak yang belum berdikari, situasi ini bukan sahaja membebankan, malah boleh menjejaskan kesejahteraan hidup mereka.
Hakikatnya, pencen diwujudkan sebagai satu bentuk perlindungan sosial bagi memastikan pasangan yang ditinggalkan mempunyai sumber kewangan yang stabil. Ia bukan bertujuan untuk dibahagikan, sebaliknya untuk menjamin kelangsungan hidup penerima.
Dalam masa yang sama, nilai ihsan dalam keluarga tetap perlu dipelihara. Sekiranya balu mempunyai kemampuan dan secara sukarela ingin berkongsi sebahagian daripada pencen tersebut kepada waris-waris yang lain, ia merupakan satu tindakan yang terpuji, tetapi tidak boleh dianggap sebagai satu kewajipan.
Perkara ini juga mencerminkan betapa pentingnya perancangan harta dilakukan semasa hidup. Tanpa perancangan yang jelas, waris mudah terkeliru dan akhirnya bergantung kepada andaian sendiri, sekali gus membuka ruang kepada konflik yang sebenarnya boleh dielakkan.
Pelantikan wasi atau pentadbir harta merupakan antara langkah penting bagi memastikan urusan selepas kematian dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Ia bukan sahaja mempercepatkan proses pengurusan harta, malah membantu mengurangkan risiko pertikaian dalam kalangan waris.
Kesimpulannya, pencen arwah bukan harta pusaka dan tidak tertakluk kepada pembahagian faraid. Ia adalah hak penerima yang telah ditetapkan oleh undang-undang sebagai satu bentuk perlindungan kewangan. Akhirnya, persoalan yang perlu direnungkan bukan sekadar siapa yang berhak, tetapi apakah kesan yang ditinggalkan kepada waris. Sama ada kita memudahkan urusan mereka atau sebaliknya, ia bergantung kepada perancangan yang dibuat semasa hidup.
*Dr Noraini Ismail ialah Pengasas Pennawaris Sdn Bhd

