
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (4 Februari), Mahkamah Rendah Syariah Gombak, Selangor menjatuhi hukuman penjara 10 hari terhadap penceramah bebas, Ustaz Faridul Firdaus Zaulkapli atas kesalahan gagal membayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiganya sejak tiga tahun lalu.
Difahamkan, Faridul Firdaus, 40, yang merupakan defendan gagal membayar hutang berjumlah RM120,000.
Hakim Syarie Mohd Faizal Habib memutuskan hukuman itu dan bertindak menolak alasan defendan atau penghutang penghakiman itu selepas meneliti fakta, dokumen dan hujah kedua-dua pihak.
Defendan diarah bayar kos prosiding RM3,000 kepada bekas isteri ketiganya
Beliau turut memerintahkan defendan membayar kos prosiding sebanyak RM3,000 kepada bekas isteri ketiganya selaku plaintif, Norhasyimah Mohamed Arip, 44.
Ujar Mohd Faizal ketika membaca keputusan, alasan beban ekonomi kronik yang diberikan defendan adalah bersifat penafian semata-mata.
Menurutnya, berdasarkan eksibit dikemukakan mendapati defendan mempunyai pendapatan bulanan yang ditunjukkan dalam penyata syarikat miliknya.
Defendan ada sumber dan keupayaan kewangan untuk jelaskan bayaran
Katanya, ia jelas membuktikan bahawa defendan mempunyai sumber dan keupayaan kewangan untuk menjelaskan pembayaran penghakiman mahkamah itu.
“Walaupun bergantung kepada sumber pendapatan ceramah dan tauliahnya sudah ditarik, penghutang kehakiman membuat pengakuan bahawa beliau masih berceramah di tempat awam selepas itu.
“Penghutang kehakiman yang menanggung tiga isteri juga gagal membuktikan perbelanjaan persekolahan 10 anaknya kerana mahkamah mendapati anaknya menjalani pembelajaran di rumah (home schooling) dan diajar sendiri oleh isteri-isterinya.
“Namun, mahkamah memuji usaha penghutang kehakiman menanggung sewa rumah kedua ibu bapanya untuk keselesaan walaupun mempunyai rumah sendiri di Taman Dato Harun. Tetapi itu sekadar ihsan sedangkan membayar hutang adalah kewajipan kepada penghutang,” katanya dipetik Berita Harian.
Plaintif diwakili Peguam Syarie Musa Awang manakalan defendan tidak diwakili peguam.
Penghakiman dibuat mengikut Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Negeri Selangor 2003.
Defendan gagal bayar RM40,000 selama 3 bulan pada 2023
Mahkamah sebelum ini memerintahkan defendan membayar hutang berkenaan secara ansuran sebanyak RM40,000 selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2023, namun defendan gagal membuat bayaran itu.
Permohonan plaintif itu rentetan daripada Penghakiman Persetujuan dan Saman Penghutang Penghakiman (SPP) terhadap defendan untuk membayar hutang perkahwinan namun defendan ingkar.
Defendan dua kali ingkar
Sehubungan itu, Musa berkata, defendan dua kali ingkar penghakiman menyebabkan mahkamah memerintahkan hukuman penjara selama 10 hari.
Bagaimanapun, defendan masih perlu membayar hutang berkenaan selepas selesai menjalani hukuman itu.
Terdahulu, pada 16 Julai 2025, Faridul Firdaus didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam atas pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah.
