
KLANG, 19 OGOS : Orang ramai yang berminat mahu mengambil kucing angkat untuk dipelihara boleh ke Taman Kucing Klang@Bandar Bukit Raja, di sini.
Datuk Bandarnya Datin Paduka Noraini Roslan berkata inisiatif Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) itu bagi mengurangkan populasi dan menyelamatkan kucing jalanan.

“MBDK dengan kerjasama Sime Darby Property mewujudkan taman kucing ini kerana mahu menyelamatkan kucing jalanan dan memberi peluang kepada orang awam mengambil kucing untuk dipelihara.
“Pengunjung yang berminat mengambil kucing di sini untuk dipelihara akan diberikan kucing yang telah dirawat, benar-benar sihat dan dimandulkan serta sudah divaksinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan sempena perasmian taman berkenaan di sini, semalam.

Terdahulu, majlis tersebut disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Jelas Noraini, setakat ini taman berkenaan menempatkan 38 kucing terbiar yang sedang menerima rawatan, pemandulan dan vaksinasi.
Beliau turut menasihatkan pencinta kucing itu agar mengambil tanggungjawab sebaiknya dan memastikan haiwan tersebut sentiasa terjaga.
“Jangan nanti kucing yang kita bela itu sakit atau sudah tua, dilepaskan pula ke kawasan yang boleh menimbulkan kacau ganggu,” katanya.

MBDK membuka Taman Kucing @ Bandar Bukit Raja yang pertama di daerah itu dengan kos pembinaan RM800,000.
Pembinaan taman seluas 200 ekar (80.9371 hektar) turut mendapat kerjasama daripada Sime Darby Property.

The post Pencinta haiwan dipelawa ambil kucing angkat di Taman Kucing Klang@Bandar Bukit Raja appeared first on Selangorkini.

