Pencipta Bahasa Pengaturcaraan BASIC Meninggal Dunia

TechnologyDigital
15 Nov 2024 • 5:08 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tomas Eugene Kurtz yang merupakan salah seorang pencipta bahasa pengaturcaraan BASIC telah meninggal dunia pada 12 November lalu pada usia 96. Beliau mencipta BASIC pada tahun 1963 bersama dengan John G. Kemeny ketika bertugas di Dartmouth College.

image is not available
John G. Kemeny dan Tomas Eugene Kurtz – gambar oleh Dartmouth College

BASIC ialah akronim untuk Beginners’ All-purpose Symbolic Instruction Code yang membolehkan sesiapa sahaja menghasilkan program untuk komputer. Pada waktu tersebut bahasa pengaturcaraan komputer seperti Fortran dan ALGOL adalah terlalu kompleks untuk dipelajari oleh individu yang tidak mempunyai kepakaran teknikal.

BASIC juga dihasilkan bagi menggalakkan penggunaan komputer di kalangan pelajar Dartmouth College menerusi Dartmouth Time Sharing System (DTSS). Ketika dekad 60an, akses kepada komputer adalah sukar kerana komputer peribadi masih belum wujud. DTSS membolehkan sehingga 300 pengguna berkongsi sebuah komputer secara serentak menggunakan terminal teletype.