
Pencipta “Call of Duty” Maut, Terlibat Kemalangan
Pencipta bersama permainan video popular Call of Duty, Vince Zampella, 55, meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan kereta di California, lapor BBC News.
Perkhabaran duka itu disahkan oleh Electronic Arts (EA), syarikat yang memiliki Respawn Entertainment, studio permainan yang turut diasaskannya.
Jurucakap EA menyifatkan pemergian Zampella sebagai satu kehilangan besar kepada industri permainan video global.
“Ini merupakan satu kehilangan yang sukar dibayangkan, dan hati kami bersama keluarga Vince, insan tersayangnya, serta semua yang tersentuh oleh hasil karyanya,” katanya.
https://x.com/Respawn/status/2003243956021195138
Sementara itu, pihak berkuasa memaklumkan ketika kejadian, Zampella menaiki sebuah Ferrari bersama seorang lagi individu.
Bagaimanapun, kenderaan itu terbabas dari laluan lalu melanggar penghadang konkrit dan terbakar di sebuah lebuh raya di Los Angeles. Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia.
Untuk makluman, Zampella mencipta Call of Duty bersama Jason West dan Grant Collier pada tahun 2003.
Permainan yang diilhamkan sebahagiannya oleh Perang Dunia Kedua itu telah terjual lebih 500 juta salinan di seluruh dunia, menjadikannya antara francais permainan paling berjaya.
Selain Call of Duty, Zampella turut terlibat dalam pembangunan permainan terkenal lain seperti Medal of Honor, Titanfall dan Apex Legends.
Sumber: BBC News
BACA: Sheqal, Penyanyi Popular 90-an Meninggal Dunia Pada Usia 60 Tahun
BACA: Wanita Kongsi Berita Duka Bakal Suami ‘Pergi’ 8 Jam Sebelum Akad Nikah
The post Pencipta “Call of Duty” Maut, Terlibat Kemalangan appeared first on Siakap Keli.


