Pencuci kereta disyaki cabul penuntut wanita

LocalPolitics
7 Dec 2025 • 10:21 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seorang pekerja cuci kereta yang disyaki mencabul kehormatan seorang penuntut wanita di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Apas Balung bulan lalu, diberkas di Batu 3, Jalan Apas, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an, ditahan kira-kira jam 11 malam oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD).

“Kes ini melibatkan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun yang mendakwa dipeluk dan diraba oleh seorang lelaki yang dikenalinya, selain turut diugut akan dikenakan perlakuan jahat jika enggan menuruti kemahuan suspek.

“Mangsa yang ketakutan kemudian melarikan diri sebelum tampil membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan dirinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Sabtu.

Menurut Jasmin, hasil siasatan awal berdasarkan keterangan mangsa mendapati perkenalan antara penuntut wanita itu dan suspek bermula melalui aplikasi media sosial TikTok.

Beliau berkata penahanan suspek dibuat susulan laporan polis yang dibuat mangsa dan lelaki terbabit kini ditahan di balai polis untuk tindakan lanjut.

“Suspek disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan atau gangguan seksual, serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Jasmin menegaskan polis memandang serius sebarang kesalahan yang mengancam keselamatan wanita dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang melakukan jenayah berkenaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada, khususnya ketika berkenalan atau berurusan dengan individu tidak dikenali melalui aplikasi media sosial.

“Orang ramai digalakkan tampil segera membuat laporan polis sekiranya berdepan ancaman keselamatan atau mengesan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing supaya tindakan susulan dapat diambil dengan segera,” katanya.