
SEMANGAT Kaamatan semakin terasa apabila Pertandingan Sugandoi Kaamatan Peringkat Daerah Tuaran 2025 kembali dianjurkan bagi mencungkil bakat seni suara dalam kalangan masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR).
Pendaftaran sudah pun dibuka untuk tiga kategori utama iaitu Terbuka (18 tahun ke atas), Songkotoun (60 tahun ke atas), dan Dazanak (12 tahun ke bawah), sebelum tarikh tutup pada 12 April.
Menurut kenyataan di sini, peserta boleh menyertai sesi saringan yang akan diadakan pada 12 April di Dewan Masyarakat Kiulu, Kiulu, bermula jam 10 pagi.
Selepas sesi ini, peringkat saringan bagi memilih 10 peserta terbaik akan diadakan pada 21 April, manakala peringkat akhir berlangsung pada 30 April.
Untuk menyertai, peserta mestilah berbangsa KDMR atau sekurang-kurangnya mempunyai salah seorang ibu bapa berketurunan KDMR, berasal dari Tuaran, serta tidak pernah memenangi Sugandoi peringkat negeri.
Sementara itu, pemilihan lagu adalah bebas tetapi harus dalam bahasa KDMR tanpa campuran bahasa lain.
Peserta juga diwajibkan berpakaian kemas semasa saringan dan mengenakan pakaian tradisional lengkap pada peringkat akhir.
Penganjuran acara tahunan ini bertujuan untuk memartabatkan warisan lagu-lagu tradisional serta memastikan kesinambungan budaya masyarakat KDMR terus terpelihara.
Pertandingan Sugandoi bukan sekadar medan untuk mengasah bakat, tetapi juga satu usaha dalam memperkukuhkan identiti budaya dan bahasa suku kaum KDMR.
Dengan tema ‘Budaya Hijau, Warisan Abadi’, ia juga mengajak orang ramai bersama-sama memelihara warisan seni suara yang menjadi kebanggaan masyarakat Sabah.
Untuk pendaftaran, peserta juga boleh mengisi borang secara dalam talian melalui pautan https://forms.gle/94DkeoNMaPWpztfs7
Maklumat lanjut, hubungi Dickler Mailson (012-8016257), Joannes Robert Johnny (012-9182206), dan Rozza Rothman (016-8249277).
