
KUALA LUMPUR - Seorang wanita wanita berusia 23 tahun didenda RM300,000 atau berdepan hukuman penjara selama 24 bulan selepas didapati bersalah menawarkan perkhidmatan memasang pendakap gigi secara haram.
Tertuduh, Intan Nazirah Mohd Rofi, dijatuhi hukuman tersebut oleh Hakim Maimoonah Aid di Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang selepas didapati bersalah menjalankan prosedur pergigian di premis yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dia berdepan dua pertuduhan, iaitu mengamalkan pergigian tanpa pendaftaran sah di bawah Akta Pergigian 2018, serta mengendalikan sebuah klinik pergigian swasta yang tidak berdaftar, sekali gus melanggar Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.
Di bawah peruntukan undang-undang berkenaan, setiap kesalahan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM150,000, penjara tidak melebihi enam tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan kes dikendalikan pegawai penguat kuasa daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.
Menurut fakta kes, sepasukan anggota dari Seksyen Kawalan Amalan Perubatan Swasta bersama Unit Penguatkuasaan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang telah menjalankan serbuan ke atas sebuah premis di Kampung Pak Mahat kira-kira jam 9 malam pada 14 September 2022, susulan maklumat berhubung aktiviti pergigian haram.
Ketika serbuan dijalankan, tertuduh didapati sedang melakukan rawatan pemasangan pendakap gigi ke atas seorang pesakit yang berbaring di atas tilam di ruang tamu premis tersebut.
Difahamkan, premis terbabit telah diubah suai menjadi sebuah klinik sementara.
Tertuduh ketika pemeriksaan gagal mengemukakan sebarang dokumen atau perakuan sah, termasuk bukti pendaftaran premis sebagai klinik pergigian swasta, pengiktirafan daripada Majlis Pergigian Malaysia, serta sijil perakuan amalan tahunan yang masih berkuat kuasa.
Pihak berkuasa turut merampas pelbagai peralatan dan bahan pergigian yang dipercayai digunakan bagi menjalankan prosedur ortodontik.
Kes terbabit adalah yang kedua seumpamanya minggu ini, selepas seorang wanita di Petaling Jaya didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen atas kesalahan mengendalikan perkhidmatan pendakap gigi secara haram.
Kedua-dua pendakwaan mencerminkan peningkatan tindakan penguatkuasaan terhadap amalan pergigian tanpa lesen di Malaysia. – Getaran, 6 April 2026

