Pihak Pendakwa raya Indonesia menuntut hukuman penjara 18 tahun terhadap pengasas Gojek, Nadiem Makarim atas dakwaan rasuah berkaitan perolehan Chromebook ketika pandemik semasa beliau menyandang jawatan Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Riset, dan Teknologi Indonesia (Mendikbudristek)
Perolehan komputer Chromebook tersebut didakwa menyebabkan kerugian Rp 2.18 trilion (~RM 489 juta) ke atas negara yang didakwa tidak wajar. Selain itu Nadiem yang meletakkan jawatan sebagai CEO Gojek pada tahun 2019 untuk menyandang jawatan Mendikbudristek turut didakwa turut meningkat kekayaan diri sebanyak Rp 809 bilion (RM 183 juta) dengan menjadikan Google “pengawal tunggal ekosistem pendidikan Indonesia”.

Kementerian telah menentukan sejak 2018 bahawa Chromebook tidak sesuai untuk pembelajaran kerana memerlukan sambungan internet stabil yang mewujudkan masalah di kawasan luar bandar Indonesia. Sungguhpun begitu pembelian tetap diteruskan selepas beberapa pertemuan Nadiem dengan wakil Google Asia Pacific dan Google Indonesia pada 2020.
Nadiem menafikan dakwaan ini dengan mengatakan harga Chromebook yang dibeli adalah secara purata 10–30% lebih murah dan pemasangan ChromeOS adalah percuma berbanding sistem operasi lain. Beliau juga mengakui bahawa institusinya telah mengedarkan 1.1 juta komputer riba, modem 3G dan projektor ke lebih 77,000 sekolah di seluruh Indonesia.
Google pula mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan mereka menggunakan hubungan dengan Nadiem untuk memenangi kontrak. Google turut menyatakan Chromebook direka untuk kegunaan bilik darjah dan mampu berfungsi di luar talian.

