Pendakwaan mohon isu persoalan undang-undang Na'imah didengar depan hakim lain

LocalPolitics
10 Nov 2025 • 3:39 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid.

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan memohon agar permintaan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pertuduhan gagal mengisytiharkan harta didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi lain.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa permohonan itu dibuat semasa sebutan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Liyana Mohd Sulaiman pada Isnin.

"Permohonan kami agar persoalan undang-undang dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi lain adalah bagi mempercepat proses pendengaran permohonan tersebut.

"Timbalan Pendaftar memaklumkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Jenayah 2 masih belum ada pengganti memandangkan Hakim K. Muniandy telah menjadi Hakim Mahkamah Rayuan,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah kemudian menetapkan 21 November sebagai tarikh sebutan kes bagi memaklumkan status sama ada pendengaran bagi merujuk persoalan undang-undang masih dikekalkan di Mahkamah Tinggi Jenayah 2 atau dipindahkan ke mahkamah lain.

Sehubungan itu, Mohd Fadhly memohon agar sebutan kes gagal mengisytiharkan harta di Mahkamah Sesyen ditetapkan pada tarikh sama, yang dibenarkan oleh Azura.

Pada 21 Ogos lepas, Muniandy membenarkan permohonan Na’imah selepas mendapati persoalan undang-undang yang dibangkitkan bukan bersifat remeh atau penyalahgunaan proses mahkamah sebagaimana diputuskan Mahkamah Sesyen sebelum ini.

Na’imah memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Seksyen 32(3)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 pada 29 Februari 2024.

Bagaimanapun, pada 18 Februari lepas, Azura menolak permohonan itu atas alasan ia tiada merit kerana tiada isu perlembagaan dibangkitkan dalam kes berkenaan.

Pada 23 Januari 2024, Na’imah, balu bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis untuk mengisytiharkan asetnya termasuk Menara Ilham serta beberapa hartanah lain di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan. - Bernama

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved