KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan memfailkan notis permohonan di Mahkamah Tinggi di sini, untuk melucut hak kereta jenis Range Rover Sport SVR dan barangan kemas yang disita daripada isteri bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan iaitu Salwani Anuar @Kamaruddin kepada kerajaan.
Bagi permohonan pertama, pendakwa raya selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 4 Mei lepas, dengan menamakan Salwani, 27, sebagai responden.
Harta yang dipohon untuk dilucut hak ialah kenderaan berkenaan, barang kemas emas 916 termasuk satu gelang seberat 15.1 gram, tiga cincin emas (1.33, 1.41 dan 1.35 gram) serta sepasang subang seberat 6.64 gram, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10,930.
Permohonan dibuat mengikut Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan kini berada di dalam simpanan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat memaklumkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Zaridah Y Abdul Jaapar menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan kes.
Sementara itu, bagi permohonan kedua di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim, Rosli Ahmad, Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan pihaknya turut memfailkan permohonan sama melibatkan barangan lain.
Katanya, ia membabitkan 23 jam tangan mewah jenama Rolex dan 15 barang kemas daripada adik ipar Muhammad Hafizuddeain, Nor Shahira Atirah Anuar @ Kamaruddin.
Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk menyiarkan warta bagi memanggil mana-mana orang yang mempunyai kepentingan terhadap harta berkenaan hadir ke mahkamah, mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, peguam, Aizul Rohan Anuar berkata, pihaknya tidak membantah permohonan yang difailkan oleh pemohon.
Selepas mendengar perkara berkenaan, Rosli menetapkan 26 Jun depan untuk sebutan kes bagi kehadiran pihak ketiga.
Berdasarkan notis pada 4 Mei lepas, pendakwa raya selaku pemohon memfailkan notis itu terhadap Nor Shahira Atirah, memohon supaya 23 utas jam tangan mewah itu dan 15 barang kemas yang disita daripada responden dilucutkan hak kepada kerajaan.
Permohonan itu dibuat atas alasan pendakwa raya di bawah kuasa-kuasa yang diberi oleh Seksyen 41(1) Akta SPRM dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah berpuas hati bahawa harta alih yang telah disita oleh SPRM dilucutkan hak, tiada pendakwaan jenayah bagi suatu kesalahan di bawah akta itu.
Dakwa pemohon, harta berkenaan telah diperoleh hasil daripada atau berkaitan dengan suatu kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Pada 22 Januari lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas empat kes menerima hasil aktiviti haram mencecah RM2,122,400 pada 2024 hingga tahun lalu.
Sehari kemudian, dia didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM145,000, tahun lalu.
Sementara itu, pada 22 Januari lalu, Salwani mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM77,000 pada 2024 dan tahun lalu.
Di Terengganu, pada 26 Januari, wanita itu didakwa atas satu pertuduhan menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

