Pendakwaan tidak bantah permohonan lepas bebas Ahmad Zahid

LocalPolitics
24 Feb 2026 • 12:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmad Zahid beredar selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa tidak membuat keputusan berhubung permohonannya supaya dibebaskan sepenuhnya daripada 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, supaya dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Semasa prosiding, Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad berkata, afidavit jawapan pendakwaan terhadap permohonan Presiden UMNO berusia 73 tahun itu juga tidak memfailkan kepada mahkamah.

“Saya hanya diarahkan untuk hadir ke mahkamah dan kami tiada bantahan terhadap permohonan pemohon (Ahmad Zahid) untuk mendapatkan perintah DNA maka saya serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

“Mengenai bantahan Badan Peguam terhadap permohonan DNA, kami hanya dimaklumkan permohonan berkenaan mengenai perkara itu pagi ini,” katanya.

Bantahan berkenaan dinyatakan melalui surat yang dihantar kepada Mahkamah Tinggi pada Isnin dan diserahkan kepada pendakwaan dan pembelaan Ahmad Zahid pada pagi Selasa.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Pok Teik yang mewakili Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pembelaan baru sahaja menerima permohonan bantahan terbabit.

Beliau berkata, Badan Peguam tidak mempunyai ‘locus standi’ iaitu hak di sisi undang-undang untuk membuat permohonan berkenaan.

“Mereka juga tidak boleh sewenang-wenangnya mengemukakan surat bantahan tanpa menyatakan peruntukan undang-undang yang menjadi sandaran.

“Isu jenayah terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Pendakwa Raya dan jika permohonan Badan Peguam mengemukakan bantahan dibenarkan, ia akan menghakis atau mengurangkan kuasa Peguam Negara atau pihak pendakwaan,” katanya.

Justeru peguam itu berkata, satu-satunya perintah yang boleh diberikan oleh mahkamah ialah perintah DNA kerana pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan kes.

Ia membabitkan rayuan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran mencabar tindakan Peguam Negara (AG) memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi tersebut.

Mendengar perkara itu, Hakim, Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor memberi peluang kepada peguam, Collin Arvind Andrew yang mewakili Badan Peguam untuk berhujah.

Collin kemudiannya mengakui bahawa, Badan Peguam bukan pihak yang terlibat dalam kes dihadapi Ahmad Zahid.

Bagaimanapun beliau memohon perhatian daripada mahkamah, supaya mengambil kira prosiding semakan kehakiman yang sedang berjalan di Mahkamah Rayuan.

“Kehadiran kami bukan semata-mata sebagai ‘amicus curiae’ iaitu sahabat mahkamah, tetapi mahu menerangkan bahawa ada kami mempunyai prosiding yang sedang berlangsung pada 8 April depan di Mahkamah Rayuan.

“Jika mahkamah membuat keputusan berhubung permohonan Ahmad Zahid hari ini, permohonan kami kelak akan menjadi akademik dan tidak lagi relevan,” katanya yang hadir bersama peguam, Abhilaash Subramaniam.

Beliau berkata, mereka hanya mahu memaklumkan mengenai kesan kepada kes yang dikendalikan, sekiranya keputusan berkenaan diputuskan segera.

Susulan itu, Nurulhuda Nur'aini berkata, tiada keputusan dibuat berhubung permohonan Ahmad Zahid.

Menurutnya, mahkamah tidak membuat keputusan walaupun pihak pendakwaan telah memberikan petunjuk bahawa mereka tidak membantahnya mengenai permohonan Ahmad Zahid.

“Kami akan menunggu selepas keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman Badan Peguam, diketahui pada 8 April depan.

“Jika mahkamah ini membuat keputusan berhubung permohonan Ahmad Zahid, maka permohonan kebenaran oleh Badan Peguam di Putrajaya, akan menjadi akademik.

“Panel hakim Mahkamah Rayuan seterusnya mungkin tidak perlu mendengar permohonan mereka lagi,” katanya.

Beliau kemudiannya menetapkan prosiding ini bersambung 24 April depan.