Pendapat: Adakah anda seorang dewasa late bloomer?

Opinion
4 Jul 2024 • 11:30 AM MYT
Syue.Rmz
Syue.Rmz

Pelajar penyelidikan psikologi & penolong pensyarah yang gemar menulis.

image is not available
Credit Image : Canva Description : Poster menunjukkan wanita dewasa yang risau memikirkan perkembangan hidupnya dalam semua aspek

Ramai individu yang mengetahui istilah late bloomer yang seringkali dikaitkan dengan perkembangan pada kanak-kanak. Secara ringkasnya, late bloomer ditakrifkan sebagai individu yang mencapai potensi dan kejayaan lewat dari jangkaan. Ini bermaksud individu tersebut mencapai perkembangan dalam segenap aspek kehidupan “agak lewat” jika dibandingkan dengan individu lain yang berada dalam kelompok usia mereka. Lalu , apakah pula yang dimaksudkan dengan dewasa late bloomer ?. Dewasa late bloomer adalah individu dalam usia 19-35 tahun masih tidak dapat memenuhi jangkaan mereka untuk berjaya dalam aspek yang lazimnya seperti pekerjaan, kewangan dan perhubungan. Pada kebanyakan negara didunia, telah menjadi satu “tetapan masyarakat” bahawa individu dalam kelompok dewasa seharusnya telah mencapai kestabilan dalam ketiga-tiga aspek yang dinyatakan diatas. Oleh itu, golongan dewasa yang masih tidak mempunyai kerjaya , kewangan dan perhubungan yang stabil dapat dikategorikan sebagai dewasa late bloomer.

Pakar psikologi iaitu Erik Erikson telah mengemukakan bahawa terdapat 8 peringkat perkembangan psikososial individu sepanjang hidup mereka. Pada usia 19-40 tahun , manusia berada pada peringkat keenam iaitu yang dinamakan intimasi vs pengasingan. Erik Erikson berpendapat pada usia ini , individu dewasa seharusnya telah membentuk satu hubungan yang stabil dan akhirnya hubungan ini akan dibawa kepada pembentukan keluarga yang lebih kukuh. Namun yang demikian, bagi dewasa late bloomer , dalam usia ini mereka masih sukar menemukan pasangan hidup sehingga menyebabkan pembentukan sebuah keluarga gagal dipenuhi dan akhirnya individu lebih memilih untuk mengasingkan diri mereka daripada orang disekeliling. Peringkat ke-6 dalam Teori Perkembangan Psikososial Erik Erikson ini merupakan salah satu contoh yang menjadi gambaran kepada dewasa late bloomer yang masih tidak dapat mencapai perkembangan hidup seperti yang dijangka dalam aspek perhubungan.

Jika dilihat dalam konteks Malaysia pula, fenomena dewasa late bloomer khususnya dalam aspek perhubungan bukanlah suatu perkara yang asing. Buktinya, beberapa bulan yang lalu statistik yang dikeluarkan oleh Seasia Stats menunjukkan Malaysia disenaraikan sebagai negara ke-3 dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai rakyat “bujang” yang ramai selepas Filipina dan Brunei. Ini membuktikan masih ramai individu dewasa di Malaysia yang memilih untuk tidak mempunyai komitmen dalam perhubungan sehingga menyebabkan mereka tergolong dalam dewasa late bloomer. Pada kebiasaannya individu enggan membentuk sebuah perhubungan romantik kerana masih belum mempunyai kestabilan dalam pekerjaan dan kewangan. Misalnya di Malaysia, pada usia 25 tahun setelah selesai ijazah pertama, individu akan mula mendapatkan perkerjaan dan seterusnya mengambil masa 2 hingga 4 tahun untuk mempunyai kewangan yang stabil. Akhirnya, setelah kerjaya dan kewangan berada pada tahap stabil , individu akan mempertimbangkan untuk mempunyai hubungan yang serius. Dapat dikatakan bahawa bagi dewasa yang mempunyai perkembangan hidup yang normal, mereka akan memenuhi tugas perkembangan dengan baik dalam aspek kerjaya, kewangan dan hubungan ketika usia mencapai 30 tahun. Namun yang demikian, bagi dewasa late bloomer kelewatan dalam mendapatkan kerjaya yang sesuai dan kelewatan dalam mengukuhkan kewangan boleh menjadi faktor yang menyebabkan mereka juga lewat dalam membentuk perhubungan.

Menjadi dewasa late bloomer bukanlah satu perkara yang mudah kerana individu tersebut berhadapan dengan “jangkaan masyarakat” yang telah membudayakan bahawa individu seharusnya mempunyai kestabilan dalam kerjaya,kewangan dan keluarga sebelum usia 30 tahun. Jangkaan ini pada akhirnya boleh menggugat psikologi individu seperti menyebabkan tekanan,keresahan dan kemurungan kerana ingin memenuhi jangkaan tersebut. Oleh itu, sekiranya anda telah mengenalpasti bahawa anda tergolong dalam dewasa late bloomer, persiapkan diri anda dalam berhadapan jangkaan masyarakat dengan cara meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, bersifat optimis dalam hidup dan buktikan bahawa anda mampu berjaya dalam semua aspek mengikut garis masa yang anda telah tetapkan sendiri.


Syue.Rmz adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.