Pendapat: Bebaskah Majlis Ulama UMNO?

Opinion
27 Jan 2023 • 12:00 PM MYT
Mohamad Azim
Mohamad Azim

Just a normal Malay bloke. Writer by profession.

image is not available
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad. Sumber: FMT

Dah lepas 10 hari Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 diadakan. Tetapi orang tetap bercakap tentang usul tiada pertandingan membabitkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang dianggap kontroversi. Tetapi orang pandang sepi berita pembentukan Majlis Ulama UMNO yang dibuat pasca-PAU 2022.

Dalam teks ucapan penggulungan PAU 2022, TPM 1 merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kata penubuhan majlis tersebut sebagai cara mengekalkan parti di jalan yang benar. Dalam ucapan sama, beliau turut umum nama Datuk Dusuki Ahmad sebagai pengerusi majlis tersebut.

Atas kertas, nampak macam baik. Yalah, siapa yang tak nak lihat orang agama tegur dan bimbing para pemimpin agar tidak terkhilaf dalam tindakan mereka. Tetapi secara tersiratnya, termasuk mengambil kira tindak-tanduk Zahid dalam beberapa tahun ini, ia tak seindah seperti disangka.

Dari segi masa, ia diwujudkan pada masa yang paling teruk. Ia ditubuhkan tatkala parti masih dibelenggu label korup - label yang terus melekat disebabkan kepimpinan yang ada kes mahkamah menerajui parti. Ingatkan bila menang hanya 26 kerusi, wujud rasa insaf dalam kalangan kepimpinan parti untuk berundur.

Tetapi itu tidak berlaku lebih-lebih lagi selepas diberi nyawa kedua menyertai kerajaan perpaduan. Yang lagi buat orang marah ialah orang yang ada kes seperti Zahid diberi jawatan dalam kabinet. Sejak itu, kumpulan pro-Zahid bertindak sesuka hati walaupun berpotensi mengakibatkan kejatuhan kerajaan yang didukung termasuk Langkah Kinabalu beberapa minggu lepas.

Dan itu membawa kepada soalan di atas, bebaskah Majlis Ulama UMNO? Kalau bebas, majlis tersebut perlu bersedia menegur walaupun ia berpotensi mencetuskan rasa tak puas hati kepimpinan parti. Tetapi dengan kesungguhan kumpulan pro-Zahid menutup mulut mana-mana individu yang cuba bersuara terhadap kepincangan parti, itu saja sudah bermasalah.

Selain itu, lantikan pengerusi majlis juga dianggap tidak bebas di mata ahli-ahli parti mahupun orang luar. Ini kerana Datuk Dusuki merupakan bapa Ketua Pemuda UMNO ketika ini, Dato Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Sudah tiada orang lain ke untuk dilantik ke jawatan tersebut? Walaupun berstatus veteran dan agamawan dalam parti, lantikan sebegini menampakkan keinginan Zahid untuk mengekalkan pengaruh dalam parti dan bukan mencari nasihat yang benar lagi telus.

Atas sebab itu, ada yang sudah mempertikai kewibawaan Majlis Ulama UMNO dan skopnya untuk bersuara lagi-lagi membabitkan ahli dan pemimpin yang bermasalah. Hal ini jika tidak dijawab dengan segera, ini menjadikan majlis tersebut sekadar alat propaganda dan bukannya refleksi parti untuk bangkit semula.

Image from: Pendapat: Bebaskah Majlis Ulama UMNO?
Majlis Ulama UMNO dibentuk bagi menyaingi PAS terutama menjelang PRN seterusnya. Sumber: Sinar Harian

Akhir sekali, pembentukan majlis ini nampak sangat mahu menyaingi Dewan Ulamak yang wujud dalam PAS hari ini. Walaupun pembentukannya disambut baik oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, ramai tahu pembentukan majlis ini diharap dapat mengembalikan semula undi-undi UMNO yang hilang pada PRU15.

Kononnya, dengan pembentukan Majlis Ulama UMNO, ia akan membersihkan imej parti daripada semua label yang dilemparkan. Kononnya, ia menampakkan UMNO juga boleh Islamik seperti PAS dan nampak lebih sederhana berbanding pesaing mereka itu. Malangnya, anggapan sebegini ibarat mimpi di siang hari.

Tak perlu lihat jauh, lihat saja Amanah/PAN-PH. AmanahPAN merupakan parti serpihan PAS yang turut memperjuangkan agenda sama. Malangnya, disebabkan ia dibayangi dengan label proksi DAP dan kegagalannya bersuara dalam isu yang dekat dengan orang Melayu dan Islam, Amanah/PAN ditolak oleh pengundi.

Dan itu dapat dilihat dalam PRU15 di mana ramai calon parti tersebut kecundang termasuk sebahagian besar pemimpin utama mereka. Yang selamat pun beberapa orang sahaja. Yang lain, hangus termasuk Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli dan Mahfuz Omar.

Jadi, apa jaminan perkara sebegini takkan berulang kepada UMNO? Sudahlah bekerjasama dengan musuh di peringkat kerajaan persekutuan. Lepas itu ada hati mahu pengundi sokong gagasan ini semasa pilihan raya negeri diadakan. Pengurusan persepsi masih lagi di takuk lama. UMNO perlu bersedia menerima kekalahan lebih memalukan dalam PRN seterusnya jika keadaan ini berterusan.

Jadi, tuntasnya, Majlis Ulama UMNO, maaf cakap, bukanlah plaster yang dapat menutup kepincangan parti. Mungkin para penyokong pro-Zahid bolehlah telan propaganda ini bulat-bulat. Tapi yang berpijak di bumi nyata, sudah tahu ia hanya penyedap rasa yang tak seberapa.


Mohamad Azim adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.