
Adalah tidak menghairankan, bahawa menurut Ronnie Liu, bekas pemimpin kuat DAP, DAP sekarang ini sudah berpecah dua.
Ia tidak menghairankan, kerana Eric Hoffer telah pun meramalkannya sejak tahun 1951 lagi.
Menurut Eric Hoffer:
“Sesuatu pergerakan dimulakan oleh golongan pemikir, direalisasikan oleh golongan fanatik, dan dikukuhkan oleh golongan pelaksana. Biasanya, adalah menjadi satu ”advantage" bagi sesuatu pergerakan—dan mungkin juga prasyarat untuk kelangsungannya—untuk peranan-peranan ini dimainkan oleh individu yang berbeza, mengikut keperluan sesuatu pergerakan . Apabila orang yang sama (atau jenis individu yang sama) memimpin sesuatu gerakan dari awal hingga tempoh matangnya, ia biasanya berakhir dengan bencana."
Ketika DAP lebih dikenali sebagai parti yang menentang kerajaan, ia dipimpin oleh golongan pemikir dan fanatik.
Sepanjang kariernya, Lim Kit Siang dilaporkan telah menulis sebanyak 10 juta perkataan. Jika sebuah novel purata mengandungi 100,000 perkataan, ini bermakna Lim Kit Siang telah menulis lebih kurang 100 buah novel dalam lebih 50 tahun kariernya. Ini menjadikan Lim Kit Siang sebagai tokoh pemikir paling berpengaruh yang telah merintis DAP pada tahun-tahun awalnya.
Bagi golongan fanatik, atau “True Believers” (penganut setia) yang sanggup memperjuangkan idea-idea dan kepercayaan DAP seperti yang diungkapkan oleh pemikirnya seperti Lim Kit Siang, individu seperti Ronnie Liu yang keluar daripada DAP pada tahun 2023 selepas parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan dan kini mendakwa bahawa DAP sudah berpecah dua, adalah salah seorang daripadanya. Kumpulan fanatik seperti Ronnie inilah yang membentuk keahlian DAP ketika parti itu berfungsi sebagai pembangkang kepada kerajaan semasa.
(Nota: Seperti yang digunakan oleh Eric Hoffer, perkataan fanatik di sini bukan dalam erti kata negatif sebagai seseorang yang ekstrem atau berfikiran sempit, tetapi sebagai seseorang yang mempunyai kepercayaan yang kuat dan sokongan yang teguh terhadap suatu ideologi, pemimpin, parti, atau gerakan.)
Golongan fanatik inilah yang berjuang untuk DAP dalam tempoh perjuangan yang sukar di mana kemenangan kelihatan mustahil. Mereka adalah jenis yang sanggup “mati dahulu, menyerah kemudian” yang akan terus menentang kerajaan walaupun mereka sedar bahawa mereka pasti kalah. Golongan fanatik ini memiliki sifat menghargai pengorbanan. Oleh itu, mereka sanggup berkorban apa saja demi perjuangan mereka. Hanya kerana generasi terdahulu dalam DAP yang sanggup berjuang dengan “nasi dan air”—atau dalam konteks DAP, berjuang dengan hanya menggunakan dana kecil yang dikumpul daripada derma tin Milo yang mereka kutip ketika berceramah—dan sanggup mengorbankan wang, tenaga, masa, dan kadangkala kebebasan mereka sendiri, demi kepercayaan kepada ideologi dan kesetian kepada parti mereka, maka DAP dapat bertahan walaupun menentang pihak lawan yang jauh lebih kuat selama beberapa dekad.
Namun, sejak tahun 2022, DAP telah menjadi sebahagian daripada kerajaan. Oleh itu, ia perlu dikukuhkan oleh golongan yang disebut oleh Eric Hoffer sebagai "golongan pelaksana" (men of action).
Golongan pemikir (men of words) berurusan dengan konsep dan teori, bukannya realiti semasa. Malah, konsep dan teori mereka sering bertujuan untuk menumbangkan, mengemas kini, atau menggantikan realiti semasa.
Golongan fanatik atau penganut setia (true believers) pula berjuang menentang realiti semasa untuk merealisasikan idea-idea yang disampaikan oleh golongan pemikir mereka.
Golongan pelaksana (men of action) pula adalah mereka yang membentuk realiti baharu selepas golongan fanatik memenangi perjuangan menentang realiti semasa dan berjaya menjatuhkan status quo. Mereka adalah individu yang bersedia untuk berkompromi demi memastikan sedikit sebanyak ideologi yang diperjuangkan dapat direalisasikan, dan bukannya berpegang teguh kepada prinsip mereka sehingga akhirnya tidak mencapai apa-apa. Mereka menerima hakikat bahawa untuk mendapatkan sesuatu, kadangkala kita perlu menerima bahawa kita tidak akan mendapat semua yang kita inginkan. Jika golongan pemikir dan fanatik adalah golongan yang enggan makan semeja dengan pihak lawan mereka, golongan pelaksana pula boleh tidur sekatil dengan musuh mereka—walaupun masing-masing mempunyai mimpi yang berbeza.
Dalam konteks DAP, saya melihat Anthony Loke dan barisan pemimpin muda DAP sebagai golongan pelaksana (men of action). Mereka menyedari bahawa mereka perlu berkompromi, atau mungkin mengabaikan sebahagian prinsip asas DAP, demi bekerjasama dan mencapai persetujuan dengan pihak lain yang berada di luar ideologi serta parti mereka. Mereka akan berkompromi sebegini, demi membentuk Malaysia mengikut idealisme DAP, walaupun negara yang mereka bina mungkin tidak seratus peratus seperti yang dibayangkan oleh generasi terdahulu dalam parti, dan meskipun mereka perlu bekerjasama dengan pihak yang dahulunya menjadi musuh DAP.
Menurut Eric Hoffer, sesuatu gerakan perlu dipimpin oleh individu yang berbeza dalam setiap fasa untuk menjamin kelangsungan dan ketahanannya. Beliau memberi amaran bahawa "Apabila orang yang sama (atau jenis individu yang sama) memimpin sesuatu gerakan dari awal hingga matang, ia biasanya berakhir dengan bencana."
Dengan kata lain, apa yang Eric Hoffer cuba sampaikan ialah kini, apabila DAP telah menjadi sebahagian daripada kerajaan dan bukan lagi pembangkang, kepimpinan parti perlu beralih kepada golongan pelaksana dan tidak lagi berada di tangan golongan fanatik atau penganut setia.
Pemikir utama DAP, Lim Kit Siang, nampaknya boleh menerima hakikat bahawa masanya telah tamat dan mengundur diri dengan cara yang terhormat. Beliau bersara secara sukarela pada tahun 2022, dan selepas itu, beliau kelihatan reda untuk membiarkan generasi seterusnya menentukan halatuju parti tanpa memberikan sebarang campur tangan.
Namun, menurut Ronnie Liu, golongan fantaik DAP mungkin tidak menerima perubahan ini dengan semudah Lim Kit Siang.
Hakikat bahawa Ronnie memberi amaran bahawa DAP mungkin berpecah secara kekal , serta seruannya kepada 4,000 perwakilan DAP agar tidak mengundi individu yang “sombong” dan boleh merosakkan imej parti dalam pemilihan DAP yang akan datang, selain tuntutannya agar pemimpin baharu tidak mengubah karakter DAP sehingga perjuangan asas parti terjejas, semuanya mencerminkan konflik antara golongan penganut setia (true believers) dan golongan pelaksana (men of action) dalam DAP—seperti yang telah diramalkan oleh Eric Hoffer.
Menurut para penganalisis, DAP kini mempunyai dua puak: satu diketuai oleh Anthony Loke, manakala satu lagi diketuai oleh Lim Guan Eng.
Jika dinilai menggunakan kerangka pemikiran Eric Hoffer, puak yang dipimpin oleh Loke mewakili golongan pelaksana (men of action), manakala puak yang dipimpin oleh Lim Guan Eng mewakili golongan penganut setia (true believers).
Jika mereka gagal menyelesaikan pertikaian ini dengan baik, maka seperti yang telah diramalkan oleh Eric Hoffer, fasa seterusnya dalam evolusi DAP berkemungkinan besar akan berakhir dengan bencana
TheRealNehruism adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
