PENDAPAT | Jangan harap mahathir akan minta maaf

Opinion
27 Jan 2026 • 9:30 AM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

image is not available
Kredit Imej: Jakarta Post

Baru baru ini, satu surat terbuka berlegar di media sosial. Ia ditulis oleh seorang wanita bernama Betty Teh dan ditujukan kepada Mahathir Mohamad, dengan jemputan agar beliau tampil untuk ditemu bual — untuk “berterus terang” atau membersihkan nama dan hati nurani, atas alasan masa tidak lagi memihak kepadanya.

Apabila saya membaca surat itu, apa yang paling menonjol bukanlah kandungannya, tetapi sudut pandangannya. Pandangan penulis surat terbuka ini terhadap Mahathir sangat berbeza daripada cara saya sendiri melihat beliau. Perbezaannya begitu ketara sehingga membuatkan saya terdetik untuk bertanya: mengapa jurangnya sejauh ini?

Setelah saya fikirkan, ini kesimpulan yang saya capai — walaupun mungkin kedengaran sexist, saya percaya bahawa perbezaan ini mungkin berpunca daripada perbezaan cara lelaki dan wanita melihat kuasa, kebaikan, kejahatan, kejayaan, dan penyesalan.

Saya berpendapat, hanya seseorang wanita — yang mungkin akan merasakan bahawa seorang pemimpin politik seperti Mahathir perlu “membersihkan hati”, menebus kesalahan, atau mencari pengampunan sebelum terlambat. Namun saya tidak percaya Mahathir sendiri akan menilai hidupnya melalui kerangka pandangan yang serupa.

Pada pandangan saya, Mahathir tidak melihat dirinya sebagai seorang yang bersalah yang perlu menebus dosanya. Beliau kemungkinan besar hanya melihat dirinya sebagai seorang pemenang, yang melakukan apa yang perlu di lakukanya untuk menang.

Pemenang bukanlah kategori moral. Ia adalah kategori kuasa. Genghis Khan, Alexander, Lee Kuan Yew, Napoleon, Caesar, Trump — dan dalam konteks tempatan, Anwar Ibrahim dan Mahathir — tergolong dalam kumpulan yang sama. Mereka ialah individu yang mempunyai matlamat hidup dengan jelas, iaitu untuk mengejar kejayaan dengan nekad, tanpa menghiraukan apa-apa perkara yang lain.

Dalam mereka mengejar kejayaan, sekiranya ada sesiapa yang menderita atau sengsara, itu tidak penting.

Genghis Khan dikatakan bertanggungjawab terhadap kematian 10 peratus daripada populasi dunia dalam usahanya untuk memerintah dunia. Alexander pula meninggalkan jejak berdarah ke mana sahaja beliau menakluk. Namun jika kita membayangkan bahawa pada saat-saat akhir hidup mereka, mereka menyesal dengan tindakan dan keputusan mereka, kita salah. Jika mereka mempunyai sebarang penyesalan pun, ia lebih berkemungkinan kerana cita-cita mereka tidak direalisasikan sepenuhnya.

Ini bukan kerana mereka adalah jahat ataupun baik. Ini kerana bagi seorang pemenang, kerangka moral bukanlah cara utama untuk menilai diri. Pemenang menilai diri mereka berdasarkan satu soalan sahaja: samaada mereka menang atau kalah.

Mahathir lahir dalam kalangan masyarakat yang dijajah dan dipandang rendah. Pengalaman hidup sebegini kemungkinan besak membuat maruahnya tercalar dan mengapikankeazaman untuk tidak terus berada di bawah.

Saya membayangkan bahawa pada suatu ketika, Mahathir membuat keputusan yang jelas: beliau tidak akan menerima kedudukan itu — bukan untuk dirinya, dan bukan untuk bangsanya. Dan untuk bangkit, beliau sanggup melakukan apa sahaja yang perlu.

Dalam permainan kuasa, jika satu pihak mahu naik, pihak lain mesti jatuh. Dan jika peraturan sedia ada dicipta oleh mereka yang selama ini menindas anda, mematuhinya sepenuhnya hanya bermakna anda bersetuju untuk terus kalah. Maka jika Mahathir membengkokkan undang-undang, merosakkan institusi, atau memusnahkan lawan, besar kemungkinan beliau melihat semua itu sebagai langkah strategik — bukan kegagalan moral.

Adakah itu menjadikannya seorang yang jahat?

Soalan itu sendiri, pada saya, sudah tersasar. Ia mengandaikan bahawa Mahathir menilai dirinya melalui lensa moral yang sama seperti orang biasa. Hakikatnya, seorang pemenang memahami bahawa medan persaingan sentiasa menuntut korban. Dan apabila seseorang bermula dari kedudukan yang lemah, dia mungkin percaya bahawa keadilan hanya boleh dicapai dengan melanggar peraturan permainan.

Namun itu tidak bermakna dia melihat dirinya sebagai korup atau kejam. Dalam fikirannya, itulah sifat realiti.

Dalam surat terbukanya, Betty menulis dari posisi moral . Beliau menggambarkan dirinya sebagai seorang yang penyayang, pemaaf, dan bersedia memahami. Penulisan Betty seolah-olah menggambarkan bahawa beliau percaya bahawa empati dan keampunan yang ditawarkannya mungkin memberi makna kepada Mahathir di penghujung hayatnya.

Saya tidak percaya Mahathir melihatnya begitu.

Seorang pemenang tidak peduli akan penilaian mereka yang tidak dihormatinya. Dan bagi Mahathir, selain isterinya, saya ragu jika ada sesiapa — di negara ini atau di dunia — yang cukup beliau hormati untuk benar-benar mempengaruhi cara beliau menilai dirinya sendiri.

Jika seluruh dunia mengecamnya sekalipun, saya yakin beliau hanya akan melihatnya sebagai sebahagian daripada permainan kuasa yang telah lama beliau pilih untuk sertai.

Sebab itulah saya berpendapat, tiada gunanya menunggu Mahathir untuk “mengaku dosa”, “berterus terang”, atau memohon kemaafan hanya kerana beliau kini berada di senja usia.

Saya bukan penyokong Mahathir. Namun jika saya berada di tempatnya, saya juga mungkin berpendapat bahawa saya tidak mempunyai apa-apa untuk dikesali, selagi saya percaya bahawa sepanjang hidup, saya berjuang untuk menang dan membawa saya dan bangsa saya keluar daripada status yang rendah, ke arah kejayaan dan kemenangan.

Orang lain mungkin menilainya secara negatif. Tetapi saya hampir pasti Mahathir tidak mengambil peduli — sama seperti singa tidak mengambil kira pandangan kambing.

Baginya, hanya satu perkara yang penting: adakah bangsanya telah menang. Jika ya, maka apa sahaja yang dilakukan untuk mencapainya telah lama beliau terima sebagai perlu dan tidak dapat dielakkan. Jika belum, maka dia kemungkinan besar akan terus berjuang untuk kejayaan bangsanya sehingga ke nafas terakhirnya, demi mendamaikan dirinya di hari-hari akhirnya.

Seluruh kehidupan Mahathir membuktikan siapa itu Mahathir. Jika setelah melihatnya secara keseluruhan kita masih gagal memahami siapa beliau, maka tiada temu bual, pengakuan, atau penjelasan tambahan yang akan mengubah apa-apa.


TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.