
Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap baru-baru ini telah berakhir dengan keputusan yang sangat penting bagi kedua-dua pihak, khususnya blok Kerajaan. Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam PRK ini memberikan tamparan hebat kepada parti gabungan dalam Kerajaan, iaitu UMNO dan Barisan Nasional (BN). Abidin Ismail dari Perikatan Nasional (PN) memperoleh 14,074 undi dengan majoriti 4,133 undi, mengatasi calon PH, Dr. Joohari Ariffin, yang hanya mendapat 9,941 undi. Walaupun kadar keluar mengundi keseluruhan menurun daripada 76% pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu kepada 63% pada PRK ini, sokongan terhadap PN meningkat daripada 52% pada PRN lepas kepada 59% pada PRK ini. Ini menunjukkan peralihan sokongan yang signifikan daripada rakyat kepada PN.
Melihat kembali keputusan PRK terdahulu, PRK DUN Jeram dimenangi oleh PH/BN, PRK Parlimen Pulai dimenangi oleh PH/BN, PRK Parlimen Kemaman dimenangi oleh PAS/PN, PRK DUN Kuala Kubu Bharu dimenangi oleh PN/PH, dan yang terbaru, PRK DUN Sg. Bakap dimenangi oleh PAS/PN. Walaupun terdapat perbezaan dalam bilangan undi dan majoriti, keputusan ini menunjukkan status quo di setiap lokasi PRK masih terjaga. Ini membuktikan bahawa penyokong setiap calon tetap setia dan tidak berubah secara signifikan.
Keputusan PRK Sg. Bakap baru-baru ini memperlihatkan penurunan undi kepada calon PH, menunjukkan penolakan rakyat terhadap Kerajaan berkaitan isu-isu semasa yang masih hangat diperkatakan. Sebagai contoh, isu harga diesel yang dimainkan oleh pihak lawan menjadi umpan yang mengena kepada rakyat. Kerajaan dilihat gagal mengambil inisiatif untuk memberikan penjelasan dan penerangan yang tepat terhadap isu tersebut. Kegagalan ini memberikan ruang kepada pihak lawan untuk memanipulasi isu ini demi meraih sokongan pengundi.
Sewaktu kempen PN berjaya memanfaatkan isu-isu tempatan dan antarabangsa yang sering dibincangkan di platform media sosial untuk meraih sokongan pengundi. Sebaliknya, Kerajaan dilihat lemah dalam menenangkan isu-isu ini kerana terlalu yakin dengan kekuatan jentera dan berbangga dengan gabungan sedia ada. Ini menyebabkan Kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam menjelaskan isu-isu yang timbul.
Demografi penduduk menunjukkan 59 peratus orang Melayu dalam PRK kali ini dan jentera UMNO-BN gagal menarik sokongan kaum Melayu. Jika PH mendapat 23 peratus undi kaum Cina, UMNO hanya perlu menarik lebih kurang 30 peratus undi Melayu untuk mencapai jumlah undi yang selesa. Namun, tugas ini gagal dilaksanakan oleh parti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan seperti UMNO. Walaupun terdapat parti Amanah dalam gabungan parti ini, Amanah seolah-olah tidak berfungsi dan tidak memainkan peranan yang signifikan dalam PRK kali ini. Ini menunjukkan pengundi Melayu beralih sokongan mereka kepada PN.
Banyak isu yang timbul serta keputusan yang diambil telah membawa UMNO-BN ke dalam kancah perdebatan rakyat yang tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan. Isu-isu ini memerlukan UMNO-BN untuk tampil lebih proaktif dan menjadi juara dalam menyelesaikannya. Namun, UMNO-BN seolah-olah berada dalam dilema sama ada mahu mengikuti telunjuk rakan gabungan atau pandangan majoriti pimpinan. Contohnya, isu Blackrock yang hangat diperkatakan baru-baru ini telah menjadi tumpuan ramai kerana ia dekat di hati umat Islam dan menimbulkan perdebatan hebat di kalangan rakyat. Namun, suara UMNO dilihat tenggelam dalam menjuarai isu tersebut.
Keadaan ini menuntut UMNO-BN untuk melakukan analisis mendalam dan merangka strategi yang lebih mantap serta relevan untuk menarik kembali sokongan rakyat. Kegagalan untuk berbuat demikian boleh menyebabkan UMNO-BN terus kehilangan sokongan, terutama daripada akar umbi yang merasa terpinggir dan tidak diwakili dengan baik oleh kepimpinan semasa. UMNO perlu mengambil langkah yang lebih proaktif dan strategik dalam menangani isu-isu penting serta memperbaiki imej dan reputasi mereka di mata rakyat.
Selain itu, dalam situasi undi kaum Melayu telah beralih kepada PN, keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Najib Razak menjadi faktor penting yang mendorong UMNO-BN gagal menarik sokongan orang Melayu. Sebaliknya, isu ini mencetuskan undi protes yang memberikan kelebihan kepada PN. Dengan undi kaum Cina yang berpecah dan tidak berpihak kepada PH, isu Najib Razak sepatutnya menjadi alternatif untuk menarik sokongan Melayu. Namun, kegagalan UMNO untuk memanfaatkan isu ini berikutan keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Najib Razak menyebabkan parti tersebut kehilangan peluang penting untuk meraih sokongan.
Keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Najib Razak bukan sahaja menjejaskan imej UMNO-BN tetapi juga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong setia beliau. Ramai yang melihat keputusan ini sebagai ketidakadilan, dan kekecewaan ini diterjemahkan kepada undi protes yang memberi kelebihan kepada PN. Dalam konteks ini, isu Najib Razak menjadi simbol kepada ketidakpuasan hati yang lebih luas terhadap kepimpinan UMNO-BN. Pengundi Melayu yang merasakan suara mereka tidak diwakili dengan baik memilih untuk beralih kepada PN yang dilihat lebih tegas dalam memperjuangkan isu-isu yang dekat di hati mereka.
UMNO-BN perlu menilai semula pendekatan mereka dalam menangani isu-isu sensitif seperti ini selain mengkaji semula pendekatan kerjasama politik bersama PH. UMNO-BN perlu lebih bijak dalam merangka strategi komunikasi dan bertindak dengan lebih tegas dalam mempertahankan kepentingan dan hak penyokong mereka. Kegagalan untuk berbuat demikian akan terus menyebabkan UMNO-BN kehilangan sokongan akar umbi, sesuatu yang amat kritikal dalam mana-mana pilihan raya. UMNO-BN juga perlu lebih proaktif dalam menyelesaikan isu-isu semasa dan menunjukkan kepimpinan yang mantap serta berintegriti untuk mengembalikan keyakinan rakyat.
Ketahuilah UMNO, masih ramai rakyat dan akar umbi di luar sana yang mahukan parti keramat ini berubah. Harapan ini bukan sahaja datang daripada golongan veteran yang telah lama bersama parti, tetapi juga dari generasi muda yang menginginkan perubahan yang lebih progresif dan inklusif. Mereka ingin melihat UMNO kembali menjadi parti yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat dan mampu bersaing dalam era politik yang semakin mencabar. Transformasi yang diinginkan ini memerlukan kepimpinan yang berwawasan, berani mengambil risiko, dan sentiasa peka terhadap kehendak serta aspirasi rakyat. Hanya dengan melakukan perubahan yang menyeluruh dan berani, UMNO dapat kembali meraih kepercayaan dan sokongan daripada semua lapisan masyarakat.
Azam Ali adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.
