PENDAPAT | Kenapa Kerajaan Tidak Boleh Iktiraf UEC

Opinion
17 Dec 2025 • 4:00 PM MYT
Yukiepedia
Yukiepedia

Your Malaysian politics dictionary

Image from: PENDAPAT | Kenapa Kerajaan Tidak Boleh Iktiraf UEC
SMPC dan sistem pendidikan kebangsaan sukar diselaraskan kerana percanggahan falsafah asas: SMPC menggunakan bahasa Mandarin sebagai pengantar utama, sedangkan Dasar Pendidikan Kebangsaan menekankan Bahasa Melayu sebagai teras integrasi nasional. Percanggahan ini mewujudkan krisis antara pemeliharaan identiti etnik dan pembentukan identiti kebangsaan yang bersepadu. 📸 Yukiepedia (AI generated)

🗳️Pasca PRN Sabah: UEC sebagai Trisula Politik

Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah—di mana legitimasi beberapa parti pemerintah, khususnya DAP, terkesan akibat peralihan sokongan dalam kalangan sebahagian pengundi Cina—kelihatan kecenderungan yang ketara untuk menghidupkan semula isu Unified Examination Certificate (UEC). Isu ini sering digandingkan bersama polemik SOSMA dan pelaksanaan e-invois, lantas membentuk “trisula politik”. Trisula ini digerakkan bagi memulihkan kedudukan dan cengkaman pengaruh dalam komuniti Cina.

Namun begitu, reaksi politik ini gagal mencerminkan kefahaman mendalam terhadap realiti sejarah dan falsafah pendidikan negara. Seruan sedemikian (pengiktirafan UEC, mansuhkan SOSMA) dilaungkan bukan untuk menjaga kepentingan negara atau kesejahtereaan rakyat. Sebaliknya, ianya hanya bermotifkan politik dan undi pada PRU akan datang semata-mata.

Dan itu lah yang artikel ini akan cuba buktikan.

1)📜 Asal Usul Dasar Pendidikan Kebangsaan

Bantahan falsafah pendidikan ini tidak bermula dengan pengenalan UEC pada tahun 1975, atau dengan kemunculan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) selepas Akta Pelajaran 1961. Akar masalahnya jauh lebih awal, tertanam dalam sistem pendidikan terpisah yang diwariskan oleh kolonial British. Selepas Perang Dunia Kedua, British menyedari keperluan menyediakan Tanah Melayu untuk kemerdekaan. Mereka mendapati sistem pendidikan ketika itu terfragmentasi kepada empat aliran utama: Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil.

Kepelbagaian ini dilihat sebagai penghalang besar kepada pembinaan identiti nasional yang bersatu. Oleh itu, pada 1950-an, Jawatankuasa Barnes ditubuhkan untuk merangka dasar pendidikan baharu untu memperbetulkan situasi ini.

Laporan Barnes (1951)

Laporan ini mencadangkan pemansuhan sekolah vernakular Cina dan Tamil. Ia mahu menggantikannya dengan sekolah kebangsaan dwibahasa (Melayu dan Inggeris). Rasional British adalah jelas: mengurangkan jurang etnik bagi memastikan negara bakal merdeka tidak terdedah kepada radikalisme. Cadangan ini ditentang hebat oleh komuniti Cina, yang melihatnya sebagai ancaman terhadap identiti etnik.

Laporan Fenn-Wu (1951)

Sebagai reaksi tidak puas hati masyarakat Cina terhadap laporan Barnes 1950, Pesuruhjaya Tinggi British Sir Henry Gurney membentuk Jawatankuasa Fenn-Wu untuk mengkaji semula Laporan Barnes serta melayan kehendak masyarakat Cina yang menganggap laporan tersebut bertujuan menghapuskan bahasa dan budaya orang Cina.

Image from: PENDAPAT | Kenapa Kerajaan Tidak Boleh Iktiraf UEC
Lim Lian Geok sering dirujuk sebagai "Jiwa Kaum Cina Malaysia" kerana perjuangannya yang tidak berbelah bahagi untuk hak pendidikan bahasa ibunda dan kesaksamaan budaya 📸 Sahabat Rakyat Malaysia

Susulan kepada itu, Laporan Fenn-Wu berjaya disediakan di mana secara Laporan itu menggesa agar sekolah vernakular dipertahankan. Dalam gelombang konflik ini, muncul tokoh seperti Lim Lian Geok. Lim yang lebih dikenali ramai di Malaysia adalah Lim Kit Siang. Namun, Lim Lian Geok kurang dikenali meskipun beliau merupakan watak penting dalam catatan sejarah negara. Beliau adalah seorang aktivis pendidikan Cina yang lantang menentang dasar pelajaran kebangsaan, daripada Laporan Barnes hingga ke Laporan Rahman Talib, sehingga menyebabkan kewarganegaraannya dilucutkan pada tahun 1961.

Bagi Lim, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi roh etnik yang tidak boleh digugat. Cadangan British ditafsirkan sebagai bentuk asimilasi paksa. British, yang terdesak menyelesaikan isu pentadbiran kolonial, mendesak pemimpin Tanah Melayu mencapai persetujuan segera.

Di sinilah kompromi menjadi satu-satunya jalan tengah, lantas menangguhkan penyelesaian muktamad isu pendidikan.

2)🤝 Pilihan Raya Umum 1955

Image from: PENDAPAT | Kenapa Kerajaan Tidak Boleh Iktiraf UEC
Pilihan raya yang berlangsung pada 27 Julai 1955 ini merupakan peristiwa penting yang menandakan permulaan era pemerintahan sendiri di Tanah Melayu, sebagai persediaan ke arah kemerdekaan penuh pada tahun 1957 📸 Soscili

Pilihan Raya Umum 1955 adalah ujian litmus bagi rakyat Tanah Melayu pada ketika itu kerana PRU tersebut bakal menjadi medan di mana British menilai kemampuan Perikatan untuk mentadbir. Maka, kegagalan mencapai kata sepakat dalam isu pendidikan akan mencerminkan ketidaksediaan masyarakat majmuk untuk memerintah sendiri. Dalam konteks genting inilah MCA melakukan pengorbanan politik penting. Demi memastikan kemenangan besar Perikatan dan mempercepatkan kemerdekaan, kompromi pendidikan dirumuskan melalui Penyata Razak 1956.

Penyata Razak 1956

Laporan ini, dinamakan sempena Tun Abdul Razak Hussein, menawarkan jalan tengah antara dasar asimilasi Barnes dan tuntutan Fenn-Wu. Kompromi ini berjaya mempercepatkan kemerdekaan, tetapi ia meninggalkan vakum besar dalam pendidikan Cina, satu isu yang akhirnya meletus pada dekad berikutnya.

  • Sekolah Rendah (SRJK): Sekolah rendah vernakular dibenarkan dikekalkan dan beroperasi dalam sistem kebangsaan.
  • Sekolah Menengah (SM): Tiada peruntukan rasmi untuk kesinambungan sekolah menengah vernakular dalam sistem kebangsaan, menetapkan hala tuju penyatuan di peringkat menengah.
Image from: PENDAPAT | Kenapa Kerajaan Tidak Boleh Iktiraf UEC
Penyata Razak 1956 merupakan laporan penting yang menjadi asas kepada sistem pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu sebelum merdeka. 📸 Jagar Impak

Walaupun kompromi ini berjaya mempercepatkan kemerdekaan, penetapan hala tuju ini secara efektif telah meninggalkan vakum besar dalam pendidikan Cina di peringkat menengah, satu isu yang akhirnya meletus dengan penggubalan Akta Pelajaran 1961.

3)⚔️ Pasca-Merdeka: Kelahiran SMPC

Selepas merdeka, agenda pembinaan negara bangsa menjadi keutamaan. Sejajar dengan itu, Akta Pelajaran 1961 dan Laporan Rahman Talib meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar tunggal di sekolah menengah—suatu langkah yang dilihat wajar dan kritikal bagi negara muda yang ingin menyatukan pelbagai kaum di bawah identiti nasional yang sama.

Langkah ini mewajibkan sekolah menengah yang menerima bantuan kerajaan untuk menukar bahasa pengantar.

Sekolah menengah Cina diberi dua pilihan yang ketat selepas Akta Pelajaran 1961 digubal:

  • Pilihan A (SMJK): Menerima bantuan kerajaan, tetapi menukar bahasa pengantar secara berperingkat kepada Bahasa Melayu.
  • Pilihan B (SMPC): Mengekalkan bahasa pengantar Mandarin sepenuhnya, tetapi tanpa sebarang sokongan kewangan kerajaan.
Image from: PENDAPAT | Kenapa Kerajaan Tidak Boleh Iktiraf UEC
Senarai sekolah-sekolah Cina yang diberi bantuan oleh kerajaan Selangor dalam tahun 1928. 📸 Aku Budak Telok

Sepertimana yang dijangka, Lim Lian Geok lantang menentang implementasi kedua-duanya. Beliau berhujah tentang pemisahan fungsi bahasa: Bahasa Melayu sebagai alat perpaduan, manakala bahasa ibunda sebagai identiti budaya.

Majoriti sekolah memilih menjadi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atas faktor kelangsungan ekonomi.

Namun begitu, sebahagian kecil yang melihat perubahan ini sebagai pengkhianatan budaya memilih laluan sukar: berdikari sepenuhnya (tanggung dana sekolah melalui komuniti sendiri).

Daripada keputusan idealistik inilah lahir Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), sebuah sistem yang secara sedar memilih untuk berada di luar kerangka pendidikan negara.

4)📚 Asas Kewujudan UEC dan Dilema Pengiktirafan

Kewujudan SMPC serta keputusan untuk kekal tersisih daripada struktur Dasar Pendidikan Nasional yang termaktub di bawah Akta Pelajaran 1961 membawa implikasi besar.

Di antara cabaran utama adalah: bagaimana pelajar akan dinilai selepas mereka habis belajar di peringkat sekolah menengah? Ini kerana pelajar yang menamatkan pengajian di SMPC tidak memiliki sebarang kelayakan diiktiraf kerajaan secara automatik—seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)—untuk membantu mereka melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam tempatan.

Maka, status sijil mereka menjadi tanda tanya besar di peringkat kebangsaan.

Bagi menangani isu ini, pada tahun 1975, Dong Jiao Zong memperkenalkan Unified Examination Certificate (UEC). Sijil ini berfungsi sebagai mekanisme penilaian dalaman yang autonomi bagi graduan SMPC, sekaligus menyediakan mereka laluan pengajian ke luar negara atau institusi swasta. Erti kata lain, UEC menjadi versi SPM SMPC

Demikianlah titik tolak sejarah yang membawa kepada kelahiran UEC di Malaysia, sebagai tindak balas kepada pengasingan rasmi.

5)🏛️ Dasar Pendidikan Tidak Boleh Ada Dua Akar

Apa masalahnya untuk mengiktiraf UEC?

Hakikatnya, SMPC dan sistem pendidikan aliran kebangsaan sukar untuk bertemu kerana falsafah asas mereka bercanggah. SMPC beroperasi menggunakan bahasa Mandarin sebagai pengantar utama, manakala Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Bahasa Kebangsaan menekankan Bahasa Melayu sebagai teras integrasi nasional.

Lebih mendasar, UEC dan SMPC wujud hari ini justeru kerana mereka tidak serasi dengan dasar pendidikan negara yang dibentuk pasca-merdeka.

Maka, secara logiknya, adalah paradoks untuk kerajaan persekutuan mengiktiraf sepenuhnya sebuah sistem yang lahir daripada falsafah yang pada asasnya bertentangan dengan agenda nasionalnya sendiri.

Persoalan akhir untuk direnungkan: Adalah logik untuk menuntut kerajaan mengiktiraf sebagai sah, satu sistem yang pada hakikatnya merupakan antitesis kepada agenda pembinaan negara-bangsanya sendiri?


Yukiepedia (yukiepedia@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.