Sekilas pandang, bila saya renungkan tentang khabar yang saya dengar daripada Nurul Izzah Anwar kebelakangan ini, inilah yang terlintas dalam fikiran saya:
1. Nurul Izzah tidak berpuas hati kerana Singapura tidak mahu berunding dengan Iran tentang hak penggunaan Selat Hormuz.
2. Nurul Izzah mengkritik konvoi motosikal oleh PN.
3. Nurul Izzah berpendapat proses pengambilan pekerja asing terlalu rumit.
4. Nurul Izzah dikatakan meletak jawatan sebagai nombor dua PKR.
5. Nurul Izzah menafikan yang dia telah meletak jawatan.
Benang yang menghubungkan semua isu-isu yang melibatkan nama Nurul Izzah ini ialah: hampir tiada satu pun perkara yang dibangkitkannya atau melibatkannya merupakan isu-isu yang menarik perhatian oleh rakyat. Dngan kata lain, topik-topik yang di sentuh oleh Nurul Izzah adalah tidak selari dengan apa yang difikirkan atau diinginkan oleh rakyat.
Jika ditanya mengapa Nurul Izzah kelihatan tidak mempunyai “denyut nadi” rakyat, jawapan saya mudah — sentuhan rakyat Nurul Izzah sudah berkarat. Dia tidak tahu apa yang menggerakkan hati dan fikiran rakyat lagi, kerana dia tidak melibatkan diri dengan aliran pemikiran rakyat.
Dalam satu perkara, politik mempunyai persamaan dengan bidang penciptaan kandungan — kalau kita tidak bersungguh-sungguh mencari denyut nadi rakyat, kita akan hilang sentuhan kita. Bila kita hilang sentuhan, kita tidak akan memahami desakan dan kehendak rakyat.
Kalau saya sendiri berhenti mengikuti kitaran berita selama seminggu dua, orang ramai pasti akan hampir pasti hilang minat terhadap kandungan yang saya hasilkan.
Kenapa?
Kerana apa yang saya hasilkan akan mencerminkan minat peribadi saya, bukan minat awam.
Sebahagian besar kerja politik — sama seperti dalam penciptaan kandungan — adalah berdasarkan kepada kebolehan kita menyelaraskan minat kita dengan minat rakyat. Dan satu-satunya cara untuk melakukan ini ialah dengan turun ke gelanggang awam dan mengambil tahu apa yang sedang berlaku dengan bersungguh-sungguh.
Buat masa ini, saya masih belum melihat Nurul Izzah turun gelanggang — kalaupun dia turun, dia tidak turun dengan bersemangat atau bersungguh-sungguh.
Sebab itu isu yang beliau bawa sering terasa hambar dan mudah dilupakan.
Jika saya perlu merumuskan prestasi Nurul Izzah sejak menjadi timbalan presiden PKR setahun lalu dengan menggunakan sepatah dua kata, kata yang saya akan pilih ialah: tidak terlibat, hambar, setakat memenuhi syarat, leka, sambil lewa atau tidak bersungguh-sungguh.
Sepanjang setahun ini, Nurul Izzah tidak kelihatan langsung seperti seseorang yang benar-benar “bermain” dalam gelanggang politik. Walaupun beliau sudah berada di dalam padang, beliau tidak nampak seperti mahu berada di situ.
Dia tidak mengejar bola.
Dia tidak memerhati pergerakan pemain lain di atas padang.
Dia tidak mengkaji permainan untuk mencari peluang.
Dia tidak kelihatan langsung seperti seorang yang mempunyai keinginan untuk menjaringkan gol dan meraih kemenangan.
Sebaliknya, dia seolah-olah hanya menunggu bola datang kepadanya — untuk ditendang secara sambil lewa kepada orang lain.
Dia bermain bukan seperti dia mahu menang, tetapi sekadar untuk mencari alasan untuk tidak dipersalahkan jika pasukannya kalah.
Kalau saya cuba fahami mengapa beliau kelihatan begitu, salah satu kemungkinan ialah — mungkin beliau memang tidak sesuai untuk permainan politik.
Politik, seperti mana-mana permainan lain, memerlukan bakat dan kecenderungan. Tanpa bakat dan kecenderungan, sukar untuk timbul minat dan semangat. Dan tanpa minat serta semangat, walaupun seseorang berusaha keras, hasilnya tetap akan sederhana.
Di peringkat tertinggi, menjadi sederhana bermakna menjadi tidak signifikan — jikalau prestasi kita sederhana, kehadiran kita tidak akan disedari, dan pemergian kita tidak akan meninggalkan kesan.
Selain itu, ada juga kemungkinan bahawa bukan Nurul Izzah yang memilih untuk menceburkan diri dalam bidang politik. Mungkin dia hanya didorong oleh ayahnya, Anwar Ibrahim. Sebab itu dia kelihatan mebuat kerja setakat “melengkapkan syarat” sahaja - kerana apabila seseorang dipaksa melakukan sesuatu yang bukan pilihannya, dia akan melakukannya tanpa sepenuh hati.
Satu lagi kemungkinan ialah mungkin Nurul Izzah sudah terlalu selesa. Mungkin dia merasakan laluannya akan sentiasa dipermudahkan. Bukan rahsia bahawa kedudukan Nurul Izzah dalam PKR banyak dipengaruhi oleh sokongan ayahnya.
Mungkin Nurul Izzah percaya bahawa jalan untuk menjadi Perdana Menteri juga akan dibuka dengan cara yang sama oleh bapanya. .
Tetapi jika itu yang Nurul Izzah fikirkan — mungkin dia perlu berfikir semula.
Zaman “ihsan ayah” sudah berakhir.
Walaupun Anwar Ibrahim sering bercakap tentang reformasi, hakikatnya beliau masih seorang ahli politik gaya lama.
Gaya pemerintahannya berasaskan pendekatan: “percayalah kepada saya dan saya menjaga awak.”
Walaupun beliau mungkin antara ahli politik yang terbaik dalam menggunakan gaya politik ini, ia tetap tidak bermakna, kerana gaya politik ini sememangnya sudah lapuk.
Model itu sememangnya sudah sekian lama nazak — ia sudah nazak untuk lebih lebih dua dekad — dan di bawah kepimpinan Anwar, ia mungkin akhirnya akan berkubur sepenuhnya.
Gaya politik lama ini hanya berkesan jika dua pertiga rakyat menyokong kuat kepimpinan Anwar.
Tetapi Anwar Ibrahim — seperti juga Perdana Menteri lain sejak 20 tahun lalu — tidak mempunyai sokongan sebesar itu.
Pada 2022, Anwar hanya menang dengan sekitar satu pertiga kerusi, manakala satu pertiga lagi sekadar “boleh terima”kepimpinananya sahaja.
Kini, tiga tahun kemudian, sokongan ini pun sudah jauh susut.
Golongan reformis sudah meninggalkan Anwar.
Pengundi India pun sudah meninggalkannya .
Pengundi Cina pun sedang mula meninggalkan .
Dan dalam PKR sendiri, perpecahan mungkin bakal berlaku — khususnya jika Rafizi Ramli mengambil langkah keluar.
Bagi kelompok yang “boleh terima” Anwar sebelum ini, krisis ekonomi yang kita hadapi sekarang akan akan hampir pasti menghakis kepercayaan mereka terhadapnya. Apa gunanya menyokong seorang yang kita tidak pandang tinggi, sekiranya dia tidak boleh menjaga apa apa pun atau menyelesaikan apa apa urusan pun ?
Apabila ini berlaku, dan ini pasti akan berlaku dalam zaman krisis ekonomi sekarang, saki Baki sokongan yang tinggal terhadap Anwar pun akan hilang.
Dan apabila sokongan ini hilang, bukan sahaja Anwar tidak lagi mampu membantu Nurul Izzah — Anwar mungkin tidak mampu membantu dirinya sendiri.
Khairy Jamaluddin nampaknya sedar perkara ini. Itulah sebabnya beliau telahpun kembali ke UMNO — untuk memposisikan diri sebagai calon Perdana Menteri masa depan.
Saham politik ahli politik lain seperti Ahmad Zahid Hamidi, Dr Sam dan Rafizi Ramli juga semakin melonjak naik, kerana pasaran politik kini giat menjangka kejatuhan Anwar tidak lama lagi.
Apabila Anwar jatuh, PKR dan Pakatan Harapan tidak semestinya jatuh bersama — jika mereka mempunyai barisan pelapis yang mampu menawarkan sesuatu yang baru kepada rakyat.
Tapi apakah yang perlu ditawarkan oleh barisan pelapis PKR?
Jawabnya ialah mereka perlu menawarkan alternatif kepada gaya lama “percayalah pada saya dan saya akan jaga awak" yang digemari ahli politik generasi lama superti Anwar.
Apabila rakyat mencari alternatif kepada gaya lama yang sudah lapuk ini, mereka akan memandang kepada Nurul Izzah, sebagai waris kepimpinan PKR, untuk menawarkannya.
Dalam era pasca-Anwar, rakyat akan mencari gaya kepimpinan baharu dari pemimpin pemimpin genarasi baru, dan antara nama yang berpotensi muncul dalam era pasca- Anwar adalah Nurul Izzah Anwar, Khairy Jamaluddin, Rafizi Ramli dan Dr Sam.
Walaupun ahli politik lama seperti Hamzah Zainudin atau Ahmad Zahid Hamidi mungkin juga sempat naik, mereka mungkin tidak akan bertahan lama.
Krisis ekonomi yang bakal melanda memerlukan kepimpinan yang tidak bergantung kepada pendekatan “percayalah kepada saya, saya akan uruskan semuanya.”
Khairy Jamaluddin sudah mula bergerak.
Rafizi Ramli mungkin akan bergerak dalam masa terdekat.
Dr Sam juga sedang mengatur langkah.
Nurul Izzah pula kelihatan masih tanpa pelan.
Sebagai penutup, saya petik kata-kata Shakespeare:
Jangan takut menjadi hebat: ada yang dilahirkan hebat, ada yang mencapai kehebatan, dan ada akan dipaksa menjadi hebat.”
Walaupun Nurul Izzah mungkin belum bersedia untuk memikul tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang yang berada dalam posisinya, desakan semasa tetap akan menuntutnya untuk memikulnya.
Bila situasi semasa mendesaknya untuk memikul tanggungjawab yang perlu dipikul oleh seorang dalam posisinya, beliau harus bersedia untuk mengambil tampuk pemerintahan daripada ayahnya , walaupun ayahnya tidak bersedia untuk melepaskannya — kerana jika tidak, orang lain pasti akan mengambilnya.
TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
