Pada Julai 2020, saya bersama rakan-rakan sukarelawan telah menjayakan program pengagihan barangan dapur kepada 50 keluarga orang asli di Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang. Sebelum itu, perjalanan kami dengan menaiki tiga buah pacuan 4 roda ke perkampungan ini adalah lancar, meskipun perlu melalui jalan tanah merah selama 2 jam kerana cuaca berkeadaan baik. Namun perjalanan pulang agak mencabar kerana hujan telah turun pada malam sebelumnya. Jalan tanah merah bertukar menjadi selut yang licin. Keadaan jalan pula kebanyakkannya adalah menurun. Dua buah kenderaan dalam keadaan tip top. Manakala sebuah lagi bermasalah kerana keempat-empat tayarnya hampir botak. Beberapa kali kenderaan tidak mengikut hala stereng. Di pulas ke ke kiri, perginya ke kanan. Di pulas ke kanan perginya ke kiri. Beberapa kali kenderaan kami berpusing. Tayar tidak mampu mencengkam jalan yang berselut dan licin. Saat menurun, break kenderaan umpama tidak berfungsi. Keadaan membuatkan kami hampir putus nafas. Paling membuatkan jantung kami hampir terhenti, apabila saat menuruni salah satu bukit dan kenderaan sedang meluncur laju, tiba-tiba terdapat sebuah jentolak yang gagah menghalang ¾ jalan. Bantu kami wahai Tuhan. Jika salah percaturan, sama ada kami akan melanggar jentolak tersebut atau kami akan terbalik melanggar tebing. Ruang jalan kami hanya ¼ sahaja! Sedang kenderaan yang dikawal pergerakannnya ini, tetap tersasar perginya. Kami hanya diam membisu, tidak bernafas dan hanya Tuhan yang tahu. Sudah tentu berganda-ganda resahnya jiwa rakan yang membawa kenderaan ini. Di sinilah ketenangan, kemahiran dan kekuatan pemandu diperlukan. Di sinilah peranan sweeper yang mengekori kami, tanpa henti, terus-terusan memberi arahan dengan tenang dan tersusun melalui walkie talkie. Di sinilah juga diletakkan sepenuh-penuhnya harapan kepada Tuhan agar tiadalah berlaku sesuatu yang tidak diingini. Akhirnya, syukur, kami selamat. Selamat juga kami tiba di Kuala Lumpur.
Pengajaran terbesar adalah, jangan mengambil mudah keadaan kenderaan walau apa pun bentuk perjalanan yang bakal dilalui. Tidak dapat saya bayangkan, jika rakan pemandu kami bukan seorang yang mahir mengawal kenderaan yang sudah hilang kawalan, hilang fokus, berputus asa dan terus menyerah! Tidak dapat juga dibayangkan jika sweeper kami tidak cukup berpengalaman memberi arahan dalam keadaan genting. Sungguh saya bersyukur bahawa Tuhan melindungi kami dan seperti mahukan kami belajar dari kesilapan.
Begitulah hakikatnya dengan kehidupan ini. Bak kata perumpamaan melayu, ‘Bertumpu dulu barulah melompat’, bermakna kita perlu membuat persediaan yang cukup sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Jika ingin mencapai apa sahaja matlamat yang diingini, bukan sekadar ‘mahu’, tapi kita perlu ‘tahu’. Tahu itu asasnya ilmu. Ilmu itu adalah entiti-entiti yang mendokong kemahuan. Ia bukan sekadar ilmu yang khusus mahupun profesional dalam mencapai tujuan. Malah ilmu spiritual juga menjadi tuntutan agar apa yang dijayakan tetap elok berpandukan suruhan Tuhan. Dengan kata lain, semakin tinggi ilmunya, semakin rasional pertimbangannya, cekap percaturannya, mantap tindakannya dan padu jiwanya. Manakala ‘mampu’ pula adalah satu gerakan yang cukup ‘ramuan’ dan penuh kompetensi bagi merealisasikan tujuan tersebut.
(Pendapat saya mengenai kesukarelawanan, suatu pegangan atau prinsip yang rapat dengan saya, juga terkandung dalam buku saya bertajuk, Suka Rela Sukar Lawan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 2024) – Sebarang pertanyaan, hubungi zakiahsenin@gmail.com
Zakiah Senin adalah sukarelawan Yayasan SALAM Malaysia, sebuah NGO yang berdedikasi dalam bidang kesukarelawanan di Malaysia sejak 30 tahun lalu.
Zakiah Senin (zakiahsenin@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
