Pendapat: Mengapa Anwar Begitu Takut Dengan Himpunan “Turun Anwar”?

Opinion
25 Jul 2025 • 12:30 PM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

image is not available
Kredit Imej: The Coverage

Anwar begitu takut dengan himpunan Turun Anwar sehinggakan tiga hari sebelum himpunan itu berlangsung, beliau mengumumkan bahawa setiap rakyat Malaysia dewasa akan menerima RM100, dan akhirnya menurunkan harga RON95 sebanyak enam sen kepada RM1.99—seperti yang telah dijanjikannya sejak bertahun-tahun dahulu.

Beliau begitu takut sehingga bukan sahaja Ketua Setiausaha Negara mengeluarkan amaran kepada penjawat awam agar tidak menyertai himpunan itu, malah Peguam Negara juga turut campur tangan dengan memberi amaran bahawa tindakan boleh diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati terlibat.

Jadi, persoalannya: Mengapa Anwar begitu takut dengan himpunan ini?

Adakah beliau benar-benar percaya bahawa himpunan ini, seperti yang didakwa sesetengah pihak, akan membawa setengah juta rakyat turun ke jalanan menentang pemerintahannya?

Adakah pemerintahannya begitu rapuh sehingga satu perhimpunan berskala sederhana pada sabtu ini pun boleh menggugat kestabilannya?

Kata orang “"Manusia merancang, Tuhan menentukan." Adakah Anwar percaya bahawa segala usahanya selama tiga tahun untuk mengukuhkan kuasa dan tampuk pemerintahannya akan hancur sekelip mata jika himpunan ini berjaya?

Secara peribadi, saya percaya jawapan kepada semua soalan ini ialah ya.

Saya percaya himpunan Himpunan Turun Anwar pada hari Sabtu ini merupakan detik hidup atau mati bagi pembangkang. Jika himpunan ini gagal, bukan Anwar yang akan tersingkir, tetapi pemimpin pembangkang seperti Hadi atau Muhyiddin yang akan melihat hari-hari mereka semakin singkat. Dengan itu, saya percaya pihak pembangkang akan turun habis- habisan dan mengerahkan seluruh kekuatan mereka demi menjayakan himpunan ini. Saya ragu himpunan ini akan menarik setengah juta orang seperti yang didakwa sesetengah pihak, tetapi ia tidak memerlukan jumlah sebanyak itu untuk dianggap berjaya. 50,000 orang pun sudah memadai.

Saya tidak fikir pemerintahan Anwar lemah dalam erti kata bahawa rakyat melihat ada pemimpin lain—seperti Muhyiddin, Mahathir atau Hadi—yang lebih layak menggantikannya. Memang benar, mutakhir ini pemerintahannya dilanda pelbagai masalah—pemberontakan Rafizi Ramli, kontroversi pelantikan hakim tertinggi, isu Yusoff Rawther, dan sebagainya. Di peringkat akar umbi, sokongan daripada golongan India dan Cina yang dahulunya merupakan benteng kuatnya juga semakin pudar. Kos sara hidup yang semakin meningkat turut merudumkan sokongan terhadap pemerintahannya. Namun, walaupun dengan segala masalah ini, Anwar bernasib baik kerana tiada siapa yang kelihatan mampu menggantikannya, sekurang kurangnya, dalam ketika ini. Maka, walaupun ramai yang kecewa dengan pemerintahannya, mereka lebih cenderung untuk bersabar daripada mahu menukar kepimpinannya.

Namun, kita juga harus ingat bahawa pemerintahan Sheikh Hasina di Bangladesh yang bertahan selama 15 tahun juga kelihatan stabil—sehinggalah satu protes pelajar pada Julai tahun lalu menyebabkan kerajaannya runtuh dalam masa hanya sebulan. Di bawah kepimpinan Sheikh Hasina, Bangladesh berjaya mencatat pertumbuhan yang ekonomi pesat. Tetapi satu protes pelajar yang bersemangat, dan tindak balas berlebihan daripada pemerintah, sudah cukup untuk meruntuhkan kerajaannya. Hasina akhirnya terpaksa melarikan diri dari negara.

Maka tidak mustahil Anwar berasa cemas kerana beliau mungkin sedang berada begitu hampir dengan matlamatnya. Dalam tiga tahun ini, selangkah demi selangkah, sedikit demi sedikit, Anwar telah berusaha secara berterusan untuk mengukuhkan kedudukannya. Mungkin kini beliau hampir benar untuk mencapai kemuncaknya—dan kerana terlalu hampir itulah dia menjadi semakin takut. Kita, sebagai manusia, sering kali paling resah dan cemas bila impian yang kita kejar selama ini sudah hampir dalam genggaman, tapi belum betul-betul ada di tangan.

Jangan lupa, Malaysia memang terkenal dengan kejatuhan kerajaan melalui himpunan rakyat. Himpunan Hindraf pada tahun 2007 memainkan peranan besar dalam menjatuhkan pemerintahan Pak Lah. Himpunan-himpunan Bersih pula membantu membuka jalan kejatuhan kerajaan Najib. Jika himpunan Turun Anwar berjaya mencipta gambaran bahawa ramai rakyat telah menolak kepimpinan Anwar, maka ia juga berpotensi menjatuhkan kerajaannya.

Selagi kita tidak nampak penolakan besar-besaran terhadap Anwar, kita akan kekal dengan tanggapan bahawa pemerintahannya masih diterima oleh orang ramai. Apabila kita percaya bahawa orang ramai menerima pemerintahannya, kita juga akan cenderung menerima, walaupun dengan rasa berat hati.

Pada hari Sabtu ini, Jika yang turun ke jalan hanyalah sekadar 10, 000 atau 15,000 orang sahaja, dan mereka berarak dengan lemah, longlai, tidak bersemangat dan dayus, kita mungkin tetap mempercayai bahawa pemerintahan Anwar masih diterima orang ramai, walaupun dengan hati yang berat.

Tetapi jika yang turun itu sekurang-kurangnya 50,000 orang dengan semangat berkobar-kobar—sehingga mereka sanggup berdepan dengan meriam air atau pukulan FRU untuk menzahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kepimpinan Anwar—seperti peserta himpunan Hindraf dan Bersih dahulu - maka kepercayaan yang kepimpinan Anwar diterima ramai akan hilang dari hati kita. Anwar tidak lagi akan dilihat sebagai tokoh besar, tetapi hanya sebagai seorang manusia biasa—dengan dua tangan, dua kaki, dan dua mata.

Di negara dunia ketiga seperti Malaysia, pemimpin hanya selamat selagi rakyat melihat mereka sebagai tokoh agung atau seorang personaliti hebat yang mampu memberi ganjaran besar atau hukuman berat, yang mempunyai mata dan telinga di mana-mana dan disokong oleh ramai penyokong setia, yang sedia bertindak untuk mempertahankan ketua mereka. Bila gambaran itu luntur, dan pemimpin itu dilihat tidak lebih hebat daripada kita sendiri, maka musibah menanti. Di negara dunia ketiga, apabila seorang pemimpin jatuh, paling kurang mereka akan dihalau keluar negara, paling buruk mereka akan masuk penjara.

Satu himpunan yang bersemangat, pada masa yang tepat, sudah cukup untuk menukar persepsi bahawa Anwar bukan seorang tokoh besar atau personaliti hebat, tapi hanya sekadar insan biasa seperti kita juga. Kalau ini terjadi, memang nahas bagi dia.

Anwar memang wajar takut akan 26 Julai ini. Dan tindakannya memberi amaran kepada penjawat awam serta menurunkan harga petrol adalah langkah yang betul dan berkesan untuk meredakan potensi dan wibawa himpunan turun Anwar pada sabtu ini. .

Tetapi seperti kata pepatah: “the best laid plans of mice and men often go awry.”

Manusia merancang, Tuhan ketawa.

Mari kita lihat bagaimana segala-galanya akan terurai pada 26 haribulan nanti.


TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.