Pendapat: Muhyiddin Telah Membazir Peluangnya

Opinion
2 Jun 2023 • 5:30 PM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

image is not available
Sumber Gambar: Sinar Daily

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin, baru-baru ini mendakwa beliau yakin bahawa gabungannya dapat meraih 80% undi, terutamanya dari kalangan orang Melayu, dalam pilihan raya negeri yang dijadualkan berlangsung selepas bulan Jun.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, menolak dakwaannya mengenai "tsunami Melayu" dengan mengatakan bahawa pengundi lebih mengutamakan kestabilan politik dan ekonomi daripada berkeinginan untuk menentang kerajaan perpaduan.

Ini mungkin kali pertama dan terakhir saya akan melafazkan ayat ini - tetapi saya percaya Zahid Hamidi betul. Saya juga berpendapat yang "tsunami Melayu" seperti yang diramalkan oleh Muhyiddin itu tidak akan terjadi . Ia tidak akan terjadi kerana Muhyiddin telah kehilangan inisiatif. Beliau telah membazir peluang keemasan yang dimilikinya sebelum ini.

Apabila selesai PRU ke 15, Muhyiddin adalah orang pertama yang mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk membentuk kerajaan. Beliau kemungkinan besar memang mempunyai cukup majoriti kerana Abang Jo dari Sarawak secara terbuka telah keluar untuk menyokong Muhyiddin dan PN sehari selepas PRU tamat. Sejak itu, Umno juga telah mengaku bahawa memang wujud 10 ahli Parlimen Umno yang menyokong Muhyiddin dan PN selepas PRU 15. Dengan sokongan  Abang Jo dan 10 ahli Parlimen Umno itu, Muhyiddin memang berkemungkinan besar mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan. Walaupun beliau mempunyai hak yang begitu kuat untuk dinobatkan sebagai pemenang PRU 15,  reaksi Muhyiddin apabila haknya dinafikan adalah begitu lemah sekali. Kalau lah Anwar Ibrahim yang berada di dalam posisi Muhyiddin, saya percaya KL mungkin akan bergegar.

Selepas kekalahan PN, Muhyiddin dan PN terus menghadapi percubaan demi percubaan untuk membenamkan PN sehingga ke hari ini. Muhyiddin telah dituduh rasuah. Hamzah Zainuddin mungkin akan berkongsi nasib yang sama tidak lama lagi. Akaun bank Bersatu telah dibekukan. PN mungkin menghadapi pilihan raya negeri 6 negeri yang akan datang ini tanpa dana yang mencukupi. Kecuali jika kita buta, kita dapat melihat dengan jelas bahawa terdapat usaha yang konsisten untuk mengalahkan Muhyiddin dan PN tanpa menentang mereka secara terus di medan pilihanraya.  Namun demikian, selain daripada menyatakan ketidakpuasan hatinya, Muhyiddin tidak mengambil sebarang langkah konkrit untuk menentang taktik-taktik machiavelian yang digunakan untuk menentang beliau dan partinya.

Semua ini membuat kita bertanya-tanya. Bagaimana Muhyiddin berpikir dunia ini berfungsi? Apa pendapat belia tentang peranan dan tanggungjawab beliau dan orang lain?

Adalah merupakan prerogatif kaum wanita untuk sekadar menyatakan ketidakadilan dan penindasan yang mereka alami sebelum mengharapkan orang lain akan tampil ke hadapan untuk membantu mereka. Di zaman Rom Purba, apabila Lucretia menuduh Raja Rom mencabul kehormatannya, rakyat Rom tampil untuk menggulingkan raja mereka. Apabila Kannagi menuduh Raja Pandyan melakukan kezaliman, kuasa luarbiasa telah membakar bandar Madurai sehingga hangus demi menuntut keadilan bagi pihaknya . Apabila Mahsuri mendakwa dirinya di fitnah dan diaibkan, 7 keturunan di Langkawi di timpa bala. Ketika Wan Azizah meratapi ketidakadilan dan penghinaan yang menimpa keluarganya, rakyat Malaysia telah tampil kehadapan  untuk berjuang bersamanya sehingga Mahathir berundur.

Adakah Muhyiddin juga ingin mengikuti contoh Lucretia, Kannagi, Mahsuri, dan Wan Azizah? Adakah beliau sekadar berniat untuk menyatakan ketidakadilan dan penindasan yang dialaminya dan mengharapkan orang lain akan tampil membantunya? Tidak adakah contoh you lebih maskulin untuk diteladani Muhyiddin?

Sesetengah orang mungkin melihat reaksi Muhyiddin yang lemah dan kaku ini sebagai satu bentuk kesopanan dan kesusilaan, tetapi Muhyiddin dan PN juga harus faham bahawa ramai orang akan melihat keengganan beliau untuk membela dirinya sendiri sebagai satu tanda kelemahan dan kedayusan. Bolehkah kita menyalahkan orang lain jika mereka berpendapat bahawa mungkin Muhyiddin tidak memiliki semangat perjuangan? Kita tahu bahawa Muhyiddin berkebolehan untuk melakukan apa yang beliau yakini adalah yang benar ketika beliau memiliki kuasa atau ketika beliau berhadapan dengan lawan yang lebih lemah atau ketika beliau dibantu oleh tokoh yang lebih besar. Tetapi ketika beliau berada dalam posisi yang sukar atau menghadapi lawan yang lebih kuat atau ketika beliau tidak mempunyai naungan tokoh yang lebih besar, tiba-tiba beliau kelihatan seolah olah beliau tidak mumpunyai wibawa untuk memperjuangkan apa yang beliau fikir adalah benar, meskipun beliau masih mendakwa bahawa beliau berada di pihak yang benar.

Apabila keputusan PRU 15 tidak berpihak kepada beliau, meskipun beliau berkemungkinan besar mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, Muhyiddin seharusnya tidak mengalah dengan begitu cepat.  Setidaknya beliau seharusnya mencabar keputusan itu di Mahkamah. Kalaupun beliau tidak menang di mahkamah, sekurang kurangnya tindakan beliau akan menunjukkan kepada semua orang bahawa beliau memiliki wibawa untuk berjuang.

Ketika ahli ahli partinya seperti Wan Saiful, Hamzah Zainuddin dan juga dirinya sendiri menghadapi tuduhan rasuah, beliau seharusnya tidak berdiam diri. Kalaupun ada ahli politik PN terjebak dalam kegiatan rasuah, ahli politik parti mana yang tidak terjebak dalam kegiatan rasuah? Kalau ahli politik parti lain tanpa segan silu melemparkan tuduhan rasuah terhadap PN, mengapa Muhyiddin begitu teragak agak untuk menyerang balas?

Muhyiddin seharusnya bertindak ketika peluang untuk bertindak berada di dalam genggamannya . Dengan menunggu dan teragak agak, beliau telah membazir bola tanggung yang dimilikinya.

Sekarang beliau tidak lah boleh mengharapkan orang Melayu untuk tampil untuk berjuang bersamanya, apabila beliau sendiri enggan berjuang untuk dirinya sendiri.

Pertama sekali, mengharapkan orang lain untuk berjuang untuk kita adalah sesuatu yang hanya dilakukan oleh golongan wanita sahaja. Sekiranya seorang lelaki merasakan dirinya ditindas atau diperlekehkan, dia harus menunjukkan kemampuan untuk mebela dirinya sendiri. Hanya jika dia menunjukkan bahawa dia memiliki kemampuan untuk membela dirinya sendiri, baru lah lelaki lelaki lain yang juga memiliki pandangan yang sama sepertinya akan tampil kehadapan untuk berjuang bersamanya.

Kedua, mengapa harus orang Melayu tampil kehadapan untuk membela nasib Muhyiddin dan PN apabila Muhyiddin sendiri telah berkali kali mebazir peluang keemasan untuk membela dirinya sendiri. Setelah Muhyiddin sendiri berkali kali membazir bola tanggung yang diberikan kepadanya, adalah jauh lebih sukar bagi mereka bertindak sekarang.  Dan kalaupun mereka tampil kehadapan untuk bertindak , apa faedahnya ? Sekiranya mereka berjaya dalam perjuangan mereka pun, mereka hanya akan mendapat seorang Muhyiddin sebagai pemimpin. Apa jadahnya memiliki seorang pemimpin yang begitu lemah, sehingga dia berkali kali melepaskan peluang keemasan yang dimilikinya.

Bukan sekadar orang Melayu, sesiapa pun tidak akan membazir masa dan tenaga untuk mendapatkan begitu sedikit imbalan?


TheRealNehruism adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.