
Petang tadi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu media bahawa senarai ahli yang dikatakan mengkhianati dan mensabotaj parti bakal didedahkan esok. Kebetulan pula, ia selaras dengan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang bakal bermesyuarat esok termasuk membincangkan isu disiplin ahli-ahli.
Yang peliknya, sudah ada pertentangan tentang isu disiplin yang akan dibincangkan. Contoh paling mudah, tindakan disiplin ke atas bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ). Kata Timbalan Presiden yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, isu disiplin babit KJ akan dibincangkan di peringkat MKT. Tapi bila ditanya pula pada Naib Presiden merangkap bekas PM, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hal itu dinafikan.
Kalau hal ini sudah ada pertentangan sesama ahli MKT, apa pula jaminan perkara sama takkan mencetuskan kekecohan dalam mesyuarat MKT esok? Nampak sangat, kem pro-Zahid semakin galak mengukuhkan kuasa mereka dengan memburu mana-mana individu yang tak sebulu dengan mereka.
Parti akan dakwa, pembersihan dibuat mengikut prosiding. Tetapi dengan mengambil kira bagaimana ramai pengkritik Zahid dibuang daripada parti termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, itu hanyalah alasan semata-mata.
Dari satu segi, pembersihan akan membantu parti atau lebih tepat, mengukuhkan kedudukan kumpulan pro-Zahid. Tetapi ia bakal memberi mesej buruk kepada rakyat di luar sana bahawa UMNO tidak meraikan perbezaan pendapat yang wujud dalam kalangan ahli dan pemimpin parti.
Bagi ahli-ahli parti, jika itu berlaku, makanya lebih baik mereka angkat kaki daripada berpura-pura mengatakan parti masih dalam keadaan baik. Apa guna setia jika kesetiaan diragui dan maruah dipijak-pijak di khalayak - kononnya sebagai pengajaran.
Kumpulan pro-Zahid tidak sedar semua tindakan mereka sudah membuatkan ahli-ahli parti meluat. PAU yang sepatutnya menjadi medan para ahli berbahas pelbagai isu termasuk isu rakyat ditukar sebagai medan menyucikan 'sekutu' baru, DAP. Usul tiada pertandingan membabitkan Presiden dan Timbalan Presiden tetap diteruskan walaupun dibantah sesetengah ahli parti termasuk pemimpin MKT.
Bila ada ahli laporkan usul tersebut kepada ROS, cepat saja geng pro-Zahid menyerang kononnya tindakan itu mempersoal keabsahan usul yang diluluskan PAU. Bila ada yang ingatkan bahawa itu merupakan hak ahli untuk merujuk kepada ROS, maka jawapan balas ialah label pengkhianat.
Maka, yang jadi persoalannya, nak patuh sampai ke tahap mana? Sampai masuk lubang biawak? Walaupun itu bermakna parti binasa? Sebab itu, jika benar pembersihan bakal dilaksanakan esok, maka parti akan merana.
Pertama, ahli-ahli yang dibuang boleh saja menyertai parti-parti yang anti-UMNO untuk terus bergiat aktif. Jika suara mereka diraikan dan sumbangan mereka dihargai, yang beruntung sudah pastinya parti yang menerima mereka. Dan mereka boleh saja menyebarkan propaganda UMNO sudah tidak boleh dipercayai sebagai parti pro-rakyat.
Kedua, parti-parti sekutu akan mempertimbang semula kerjasama terutama dalam BN. Bukan satu rahsia MCA dan MIC mengingatkan UMNO bahawa yang bermain kayu tiga dan membuat keputusan sesuka hati ialah parti Melayu tersebut. Jika tidak, takkan pemimpin dua parti tersebut melenting apabila orang-orang BN dan PH bertemu di sebuah hotel hujung November lepas.
Malah, bila ada ura-ura mengatakan parti mahu bekerjasama secara formal dengan PH untuk enam PRN akan datang, MIC mengingatkan semua bentuk kerjasama perlu dipersetujui secara konsensus di peringkat BN.
Kalau setakat setengah pihak, lebih baik bubarkan saja BN dan benarkan parti-parti komponen corak masa depan mereka termasuk sertai mana-mana pakatan politik baru. Jika itu berlaku, mana-mana parti yang berpakat pasti akan berwaspada bila mahu bekerjasama dengan UMNO selepas ini termasuk PH.
Ketiga, ia boleh mengakibatkan kekalahan lebih besar di peringkat Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri. Sabotaj pasti akan berlaku sebagai tanda protes pakatan BN-PH. Tetapi jika itu berlaku disebabkan pembuangan ahli, makanya usah terkejut parti bukan saja hilang majoriti lebih besar. Bahkan, jangan tolak kemungkinan parti kehilangan deposit untuk calon yang bertanding.
Dan jika ia memberi kesan buruk kepada PH, makanya kerjasama yang dibentuk juga akan dinilai. Betul, ia akan terus kekal atas gagasan kerajaan perpaduan. Tetapi apa jaminan ia takkan cetus rasa tidak puas hati sesama rakan pakatan? Pastinya, ada yang akan melabel kerjasama ini hanya menguntungkan pihak lawan dan bukannya PH.

Dan itu boleh saja mengubah posisi Zahid dalam Kabinet. Kekalahan besar dan kemerosotan pengaruh UMNO dalam kalangan pengundi Melayu bakal menunjukkan parti sudah tiada nilai. Hatta, cubaan rampasan kuasa kerajaan Sabah menerusi Langkah Kinabalu (gabungan UMNO-Warisan) yang direncana sebelumnya juga tidak berhasil.
Dengan kerajaan sendiri berdepan defisit kepercayaan terutama dalam isu kos sara hidup, apa jaminan kerjasama yang dilaungkan Zahid sebagai menjamin kestabilan negara akan bertahan? Lambat-laun, ia akan tumbang dan ramai akan menyalahkan beliau atas apa yang berlaku.
Jadi, apa tindakan MKT esok? Nak dedah (malukan) dan buang, silakan. Tapi bersedia jugalah menanggung padahnya jika ia menjahanamkan parti untuk jangka masa panjang. Tetapi yang paling beruntung, sudah pastinya PN (PAS & Bersatu) yang meraih laba daripada tindakan kumpulan pro-Zahid.
Dan itu membawa kepada satu fakta yang pahit tetapi perlu diterima, UMNO sudah patut ditinggalkan kerana ia sedang meniti hari-hari terakhirnya sebagai sebuah parti.
Mohamad Azim adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.

