PENDAPAT | Pengundi Tak Peduli Siapa Menang PRU16 — Asalkan Anwar Ibrahim Kecundang

Opinion
20 Apr 2026 • 5:00 PM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

Image from: PENDAPAT | Pengundi Tak Peduli Siapa Menang PRU16 — Asalkan Anwar Ibrahim Kecundang
Image credit: SCMP

Anwar Ibrahim kata pilihan raya tidak akan diadakan dalam tempoh dua bulan terdekat. Tetapi Khairy Jamaluddin nampaknya sudah sedia untuk bertanding dalam pilihanraya. .

Mengapa?

Kerana selepas tiga tahun terumbang-ambing di luar medan politik, akhirnya Khairy telah mengambil keputusan untuk menelan egonya dan kembali kepada Ahmad Zahid Hamidi dan UMNO—tanpa syarat.

Sukar untuk percaya seorang seperti Khairy akan membuat langkah sebegitu jika dia tidak merasakan bahawa pilihan raya sudah di ambang pintu—dan Anwar bakal tumbang.

Malah, hakikat bahawa semua pihak—dari parti politik kepada media kepada Anwar sendiri—sibuk bercakap soal pilihan raya, dengan sendirinya sedang mempercepatkan lagi kemungkinan berlakunya pilihan raya dalam masa yang terdekat.

Jangan silap: cakap-cakap tentang pilihan raya mengejut semakin mendapat tempat kerana semakin ramai yang mahu melihat Anwar tersungkur.

Apabila ahli-ahli Parlimen—yang tugasnya adalah untuk membaca kehendak dan meraih sokongan rakyat —mendapati bahawa rakyat mahu pilihan raya diadakan segera untuk menyingkirkan Anwar, mereka tidak akan teragak-agak menarik sokongan daripada kerajaan Madani, dan memaksa pilihan raya diadakan—sama ada Anwar bersetuju atau tidak.

Adakah Anwar akan benar-benar tumbang jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat?

Jawapannya: iya, tanpa ragu-ragu, iya.

Mengapa?

Kerana Anwar naik ke tampuk kuasa dengan janji besar—untuk meruntuhkan politik gaya lama yang berdasarkan pendekatan “percayalah pada saya, saya tahu yang terbaik, saya akan uruskan semuanya”—dan menggantikannya dengan sistem yang berasaskan institusi, prinsip, dan etika yang jelas.

Itu adalah janji reformasinya yang dilaungkan selama berdekad-dekad.

Namun apa yang berlaku?

Bukan sahaja amalan rejim lama itu tidak dihapuskan, malah negara kini ditadbir dengan gaya yang sama—di mana prinsip boleh dilentur, etika boleh diubah, dan semuanya bergantung kepada kehendak dan budi bicara seorang pemimpin.

Dalam era pemerintahan Anwar, bukan tokoh Reformasi seperti Rafizi atau Sivarasa yang menjadi teras, sebaliknya figura lama seperti Ramanan dan Zahid Hamidi yang menjadi tulang belakangnya.

Jika dahulu, orang masih boleh berkata, “tak mengapa lah, kalau reformasi gagal sekalipun, sekurang-kurangnya Anwar masih boleh diharap untuk ‘menjaga semuanya’,” krisis ekonomi yang sedang melanda hari ini akan mematahkan harapan itu sekalipun.

Masalah kecil mungkin boleh diurus dengan gaya “percayalah pada saya, saya akan menguruskan kesemuanya”.

Tetapi krisis besar—yang menyeluruh, berpanjangan dan kompleks—seperti yang dijangka melanda kerana krisis ekonomi global sekarang ini - tidak akan tunduk kepada kaedah lapuk ini .

Dalam krisis seperti ini, pendekatan rejim lama yang digunapakai oleh Anwar pasti akan gagal—dan gagal dengan jelas.

Dalam masa yang sama, sepanjang tiga tahun memerintah, Anwar juga telah berjaya menimbulkan ketidakpuasan hati pelbagai kelompok, sama ada India, Cina, Sabah mahupun Sarawak.

Bukan itu saja, dalam partinya sendiri PKR, perbalahannya dengan Rafizi pasti akan melemahkan lagi sokongan yang dipunyainya juga.

Kesimpulannya jelas:

Anwar Ibrahim kini dilihat semakin lemah, dan semakin beliau melemah, semakin membuak-buak keghairahan orang ramai untuk melihatnya kecundang.

Namun akan ada yang berkata:

“Bertenang—jangan tukar pemimpin di tengah krisis. Walau apa pun kelemahannya, kita perlu kekalkan Anwar. Siapa lagi yang ada selain dia?”

Kepada mereka, saya hanya ingin katakan:

Anda mungkin tidak benar-benar memahami apa yang sedang bergolak dalam hati rakyat.

Tiada siapa yang benar-benar percaya Anwar mampu menyelamatkan sesiapa pun.

Selain Azam Baki, Zahid Hamidi dan Ramanan, ramai juga tidak percaya beliau berniat untuk menyelamatkan sesiapa atau apa-apa pun.

Kita sedar krisis ini bukan kecil—ini krisis global.

Bukan Malaysia sahaja yang akan tenggelam—seluruh dunia akan merasainya.

Tetapi jika kita memang sudah ditakdirkan untuk tenggelam, sekurang-kurangnya biarlah kita tidak tenggelam sebagai orang bodoh—yang mudah diperdaya, kerana percaya dengan seorang yang tidak berniat untuk menepati janjinya.

Kita tidak mahu tenggelam sebagai mangsa penipuan—yang dianggap terlalu lemah untuk melawan, atau terlalu jahil untuk menyedari bahawa kita telah dipergunakan.

Jikapun kita ditakdirkan untuk tenggelam, biarlah kita tenggelamkan dahulu orang yang telah memperdaya kita. Sekurang-kurangnya, sebelum kita tenggelam, dapat juga kita berpuas hati melihat orang yang menganggap kita jahil dan tidak berdaya tenggelam dahulu.

Kita tidak tahu siapa yang akan dipilih oleh nasib untuk menang pilihan raya yang akan datang.

Tetapi itu tidak penting.

Kerana apa yang rakyat cari bukanlah jawapan kepada soalan siapa yang akan menang—tetapi siapa yang akan kalah.

Siapa yang menang, biarlah ditentukan oleh Takdir.

Tetapi siapa yang perlu kalah—itu biarlah ditentukan oleh rakyat, dan rakyat sudah memutuskan bahawa kita mahu Anwar Ibrahim kalah.

Kita mahu dia kalah—supaya apabila dia jatuh tersungkur, kita boleh memandang tepat ke matanya dan berkata:

“Inilah akibatnya apabila kamu anggap rakyat itu bodoh dan tidak berdaya.”


TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.