Pendapat : Threads Baharu Tidak Akan Mempunyai Nasib Sama Dengan Threads Dahulu

TechnologyDigital
27 Jul 2023 • 5:34 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Threads bukan nama baharu untuk perkhidmatan media sosial di bawah Instagram. Tahun 2019 mereka melancarkan Threads sebagai pesaing kepada Snapchat. Namun ia tidak begitu popular dan hanya mengambil masa sekitar dua tahun sebelum Instagram menamatkan perkhidmatan ini pada tahun 2021.

image is not available

Kini tahun 2023, Threads dilahirkan semula. Menggunakan nama lama tetapi konsep dan perkhidmatan baharu iaitu menjadi alternatif kepada Twitter. Percaturan Meta kali ini dilihat lebih berjaya berbanding sebelum ini. Threads berjaya mencatatkan angka pengguna melangkaui 10 juta dalam masa kurang sehari, dan angka tersebut seterusnya mencapai 100 juta pengguna dalam masa hanya 5 hari. INi sekaligus menjadikan Threads sebagai perkhidmatan internet yang berkembang dengan pesat dalam waktu yang sangat singkat. Sebagai perbandingan Twitter mengambil masa sehingga 2 tahun untuk mencapai 1 juta pengguna.

image is not available

Dalam artikel ini akan saya kongsi pendapat dan ramalan yang Threads baharu tidak akan mempunyai nasib sama dengan Threads dahulu.


Membawa Pengguna Instagram Ke Threads

Menjadikan Threads ini menarik adalah ia membawa pengguna-pengguna yang sedia aktif di Instagram terus ke Threads tanpa perlu mendaftar akaun baharu. Lagi-lagi mereka yang tahu mengenai Twitter tetapi tidak pernah menggunakannya akan rasakan platform yang memfokuskan perkongsian teks yang bukan dalam bentuk Stories ini agak menarik untuk digunakan.

image is not available

Ramai juga yang ingin mengikut hype dan tidak ingin ketinggalan kerana penggunaan Threads adalah sohor kini. Tidak lupa juga, Threads turut menerima tempias positif disebabkan oleh pelbagai perubahan yang berlaku dibawah Elon Musk.

Penghijrahan pengguna Twitter ke Threads turut memberi harapan yang platform baharu ini akan memberikan pengalaman penggunaan yang lebih menarik, positif dan bebas bot.

Kemas, Ringkas Dan Tidak Lemas

Threads juga adalah platform yang sangat ringkas. Ia bebas dari iklan (buat masa ini), tiada pengguna bot, tiada spam kandungan mengarut dan bebas dari pentaksub Elon Musk. Setakat penggunaan beberapa minggu ini saya belum nampak kandungan berita palsu atau apa-apa yang toksik selain mengutuk Twitter dan memohon kepada Threads dan Adam Mosseri untuk memperbaiki Threads.

image is not available

Antaramuka platform media sosial memfokuskan teks ini juga ringkas. Ia nampak kemas dan tidak lemas. Penggunaan adalah seakan ruangan komen pada Instagram, menggunakan animasi yang menarik, mudah digunakan, disamping gambar dan video yang dipaparkan dalam bentuk karusel yang kemas.

image is not available

Threads juga rasa ringan dan pantas. Tetapi ini mungkin kerana ia masih baru dan belum dimuatkan dengan banyak fungsi. Misalnya iklan akan dipertimbangkan akan disertakan jika corak pengguna memperlihatkan sasaran boleh mencapai 1 bilion pengguna.

Pengesahan Tanda Calit IG Dibawa Ke Threads

Seperti Twitter, Threads juga menawarkan pengesahan tanda calit biru. Menariknya ia disertakan bersama untuk langganan akaun Instagram. Jika pengguna sudah menerima pengesahan di Instagram atau telah melanggan Meta Verified dengan harga bermula RM36.99, maka anda juga akan melihat tanda calit biru bersebelahan dengan nama di Threads.

image is not available

Malah pengguna terpilih seperti ahli politik, selebriti dan pencipta kandungan Meta boleh turut memudahkan pengikut dan rakan-rakan dari Instagram terus ke Threads. Ini sekaligus memudahkan perkembangan graf rakan-rakan, tanpa perlu bermula dari sifar kembali.

Lebih Mudah Mencipta Bebenang

Twitter menjadi popular kerana merupakan satu platform blog-mikro yang boleh mencipta bebenang, tetapi dengan aksara terhad kepada 280 sahaja (untuk pengguna percuma). Threads menarik perhatian ramai dengan had sehingga 500. Berbanding Twitter yang hanya boleh kongsi 4 gambar dan video, Threads boleh kongsi sehingga 10 gambar dan video pula sehingga berdurasi 5 minit.

Tiada perbezaan had perkongsian untuk mereka yang melanggan Meta Verified atau percuma buat masa ini.

image is not available

Mencipta bebenang juga agak mudah. Selepas menulis sesuatu pada ‘ciapan’ pertama di Threads, tekan enter sahaja boleh mulakan ciapan baharu. Di Twitter agak leceh, sedangkan platform ini yang mempopularkan konsep perkongsian teks dalam bebenang. Mungkin kemudahan ini sendiri membuatkan nama Threads lebih tepat pada aplikasi baharu dibawah Meta ini.

Masa Depan Cerah

Threads turut mempunyai masa depan yang cerah. Setakat ini tiada perancangan untuk menyertakan langganan seperti Twitter. Di Twitter fungsi dan ciri menarik yang sepatutnya percuma, tidak lagi ditawarkan seperti dahulu, sebaliknya memerlukan langganan Twitter Blue. Malah, dibawah tampuk pengurusan baharu, pelbagai perubahan dilakukan tanpa mengambil-kira pelbagai perkara. Paling terbaru, Twitter dijenamakan semula kepada X, yang tidak begitu disukai ramai.

Sejak pengenalan, pengguna Threads memohon ciri garis masa mengikut kronologi khusus untuk akaun-akaun yang diikuti sahaja. Menariknya, bermula minggu ini, ciri tersebut telah mula diperkenalkan kepada umum – sekaligus memperlihatkan Threads menjadi salah satu aplikasi yang mengambil berat permintaan pengguna, berbanding Twitter yang semakin kehilangan identitinya. Disamping itu, beberapa ciri lain seperti sokongan web, multi-akaun dan sebagainya juga sedia dirancang untuk Threads.

image is not available

Jika setiap ciri dan fungsi yang orang ramai mahukan diintegrasikan dengan pantas dan Meta benar-benar serius ingin bersaing dengan Twitter, saya tidak terkejut jika jumlah pengguna boleh meningkat dan Twitter mungkin akan dilupakan seperti mana Facebook lakukan kepada MySpace suatu ketika dahulu.


Kesimpulan

Threads masih mempunyai banyak kekurangan, tetapi jumlah pengguna aktif yang masih kekal di platform ini kelihatan masih konsisten menerbitkan kandungan dan perkongsian. Malah, terdapat sejumlah pengguna dilihat selesa dengan perkongsian di Threads yang dilihat lebih positif komunitinya dari pemberian maklumbalas, berbanding Twitter yang sering dilabelkan agak kurang mesra, kasar dan “negatif”. Dengan pengenalan Threads, penggunaan Twitter juga dilihat menurun – apatah lagi dengan pelbagai perubahan oleh Elon Musk termasuk akan menukar nama dan ikon burung terkenal kepada “X”.

Threads juga akan menyokong fediverse untuk sokongan rentas-platform seperti dari Threads ke Mastodon atau di sebaliknya dengan nama pengguna @amanz@threads.net. Namun, maklumat lanjut berkenaan dengan ciri ini masih tidak diketahui lagi buat masa ini. Langkah perkongsian sasaran awal ini turut memperlihatkan keterbukaan Meta dalam mengadaptasi teknologi terbuka, dan tidak tertutup seperti syarikat korporat lain kebiasaannya.

image is not available

Berdasarkan kejayaan yang berlaku pada Threads, pesaing Twitter ini besar kemungkinan tidak akan mengulang nasib Threads pada tahun 2019 sebelum ini, dan dijangka akan menjadi aplikasi Meta seterusnya yang mencatatkan angka 1 bilion pengguna.