Pendapat: UMNO Sudah Hilang 'Telur'...

Opinion
31 Jan 2023 • 5:30 PM MYT
Mohamad Azim
Mohamad Azim

Just a normal Malay bloke. Writer by profession.

image is not available
Tindakan rakus kumpulan pro-Zahid memecat dan menyingkirkan ahli dan pemimpin parti yang tak sehaluan dengan mereka bakal menjadi penamat buat parti keramat itu. Sumber: NST

Keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lepas sudah terang lagi bersuluh. Orang yang dianggap duri dalam daging kepada Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disingkirkan (Khairy Jamaluddin/Tan Sri Noh Omar) atau digantung (Fathul Bari, Shahril Hamdan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein etc). Tetapi yang kelakarnya, bila parti pilih pendekatan gantung terutama pada pemimpin berstatus Ahli Parlimen (AP), ini menunjukkan parti sebenarnya tiada 'telur'.

Hari sebelumnya, berdegar-degar Zahid umum pengkhianat akan didedahkan dan dihukum keras atas apa yang berlaku kepada parti pada PRU15. Tetapi pada akhirnya, pemecatan hanya terpakai kepada ahli yang bukan bergelar Adun atau AP. Sementara yang berstatus AP, hanya dikenakan penggantungan enam tahun.

Nampak sangat parti terlampau takut dengan perkataan pecat pemimpin berstatus AP. Semuanya kerana klausa Akta Lompat Parti di mana AP akan hilang kelayakan kecuali sekiranya mereka dipecat daripada parti mereka. 

Melihat kepada situasi kedudukan kerusi dalam Parlimen, kumpulan pro-Zahid berhak merasa takut. Daripada 30 kerusi milik BN, 26 daripadanya milik UMNO. Jika ada perubahan yang mendorong mereka keluar dan PRK diadakan, maka UMNO berdepan kesukaran untuk mendapatkan semula kerusi itu semula.

Ini kerana sekiranya PRK diadakan dan kerusi jatuh ke tangan blok pembangkang iaitu PN, maka bilangan kerusi mereka akan bertambah. Bilangan majoriti kemenangan yang diraih juga akan bertambah lagi-lagi sekiranya calon yang ditampilkan ialah bekas pemimpin, ahli atau aktivis UMNO yang disingkirkan oleh puak pro-Zahid.

Image from: Pendapat: UMNO Sudah Hilang 'Telur'...
Tindakan rakus kumpulan pro-Zahid memecat dan menyingkirkan ahli dan pemimpin parti yang tak sehaluan dengan mereka bakal menjadi penamat buat parti keramat itu. Sumber: NST

Kumpulan yang disingkirkan ini pastinya akan membawa naratif anti-Zahid dalam kempen pemilihan mereka. Selain itu, kegagalan kerajaan perpaduan menangani pelbagai isu termasuk kos sara hidup dan harga barang juga akan dimanfaatkan bagi menunjukkan hala tuju UMNO yang dibawanya sudah tersesat.

Dan ini membawa kepada perkara yang amat digeruni kumpulan pro-Zahid: kemungkinan hilang kuasa. Ketika ini, satu-satunya sebab kumpulan pro-Zahid nampak kebal kerana mendapat sokongan kerajaan perpaduan atau lebih tepat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tetapi sekiranya UMNO mengalami kemerosotan pengaruh yang teruk terutama semasa PRN, kedudukan Zahid sudah pasti akan dikaji semula. Pakatan yang dibina akan distruktur semula dengan kumpulan pro-Zahid terpaksa tunduk kepada syarat-syarat baru PH. Jika itu berlaku, maka UMNO sudah tiada taring dengan kedudukannya diambil alih oleh PAS dan BERSATU.

Walaupun kumpulan pro-Zahid cuba menafikan naratif bahawa parti sudah meninggalkan asas perjuangan Melayu dan Islamnya, ia sudah kelihatan sedikit demi sedikit. Contoh paling mudah, bantahan terhadap Islamofobia di Kedutaan Sweden semalam. Ke mana perginya ahli dan pemimpin kumpulan pro-Zahid yang dahulunya ada semasa bantahan ICERD? Adakah itu hanya gimik politik semata-mata?

Iya, bilangan yang hadir cuma ratusan tapi PN (PAS & BERSATU) menonjolkan imej bahawa mereka kini mengambil alih peranan UMNO sebagai payung Melayu dan Islam. Dan sehingga hari ini, ia gagal disanggah oleh kumpulan pro-Zahid yang mengetuai UMNO. Jika keadaan ini berterusan, usaha untuk menawan Kelantan, Terengganu dan Kedah serta mengekalkan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang membabitkan BN-PH bakal berdepan masalah besar.

GPS, GRS dan parti-parti kecil pula sentiasa memerhati perkembangan politik semasa. Jika kerajaan yang didukung hari ini tidak stabil, mereka boleh saja menarik diri. Bagi GRS, ini juga peluang membalas dendam terhadap UMNO yang memberi lampu hijau kepada UMNO Sabah dan Warisan untuk Langkah Kinabalu.

Sebab itu, tindakan menggantung AP-AP UMNO kelihatan seperti tindakan terdesak mengekalkan kuasa dan bukannya atas dasar memelihara kestabilan parti. Dan itu juga sebab parti dianggap tiada 'telur'.

Kalau anak jantan, pecat sajalah. Kata sudah kuat, ada kawan baru lagi. Kalau hilang kerusi, boleh menang balik, kan? Atau bimbang kerusi yang dimenangi sebelum ini hilang? Yang pasti, untuk soalan ini, hanya kumpulan pro-Zahid yang ada jawapannya.


Mohamad Azim adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.