Pendapatan Aurelius dijangka pulih disokong margin lebih kukuh – Maybank IB

Business & Finance
4 Oct 2023 • 12:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Aurelius dijangka pulih disokong margin lebih kukuh – Maybank IB

diyana

04/10/2023 - 12:42

KUALA LUMPUR 4 Okt - Pendapatan Aurelius Technologis Berhad dijangka pulih disokong margin yang lebih kukuh berikutan lonjakan tempahan yang menandakan pemulihan permintaan, serta pemerolehan pelanggan baharu dan pengeluaran produk baharu.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) mendedahkan bahawa Aurelius telah menyaksikan lonjakan tempahan, yang berterusan dengan tempahan tergesa-gesa bernilai RM40 juta baru-baru ini (belum dimasukkan dalam buku pesanan yang dilaporkan pada 18 Sep 2023) dan dijangka dihantar dalam beberapa bulan akan datang.

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM3.13 sesaham disokong prospek positif dengan penamatan pengurangan stok pelanggan, menandakan kembalinya pertumbuhan industri perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS).

Walaupun sesetengah penggunaan kilang kekal di bawah optimum, firma itu berkata kilang khusus seperti untuk produk berkaitan komunikasi dan IoT (C&I), serta minyak dan gas (O&G) perlu beroperasi setiap hari.

“Margin lebih kukuh adalah dalam jangkaan disebabkan oleh campuran produk lebih baik dan operasi diperkemas,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Di samping, walaupun sumbangan pendapatan dua pelanggan baharu masih kecil pada masa ini, Maybank IB berkata kepelbagaian produk mereka ini sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dan penawaran produknya.

“Penyertaan pelanggan automotif baharu sedang berjalan seperti yang dirancang, dengan pengeluaran besar-besaran dijangka pada FY25 selepas kilang P5 siap. Pelanggan ini dijangka menyumbang 30% hingga 40% kepada pendapatan,” tambahnya.

Walaupun kumpulan itu menghadapi cabaran pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24), Maybank IB berkata ia tetap optimis tentang prospek Aurelius.

Ia mengunjurkan 30% kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) dalam pendapatan bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Penambahbaikan dalam pengurangan stok pelanggan dijangka menjelang 4QFY24, disokong oleh inisiatif pengembangan dan pelancaran pelanggan baharu/produk baharu.

“Aurelius di kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan dan pelabur langsung asing dalam sektor elektrik dan elektronik tempatan sementara ia memajukan rantaian nilai,” katanya.

Pada rehat tengah hari, saham Aurelius menokok 4 sen atau 1.6% kepada RM2.59 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM1.02 bilion. - DagangNews.com