Pendapatan Kossan diramal meningkat disokong penurunan kos bahan mentah - RHB Research

LocalBusiness & Finance
18 Jul 2025 • 10:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Kossan diramal meningkat disokong penurunan kos bahan mentah - RHB Research

image is not available

18/07/2025 - 10:01

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Julai - Pendapatan Kossan Rubber Industries Berhad pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) diramal meningkat, disokong penurunan kos bahan mentah, kata RHB Research.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu kekal berhati-hati terhadap prospek sektor produk getah secara keseluruhan, disebabkan tempoh penyelarasan inventori yang panjang, kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit dan kesukaran memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan.

Katanya, walaupun terdapat jangkaan peningkatan, jumlah jualan Kossan dijangka kekal suram, disebabkan tempoh penyesuaian inventori yang lebih lama daripada jangkaan dalam kalangan pelanggan utamanya di AS.

"Keuntungan Kossan bagi 2QFY25 dijangka meningkat sedikit berbanding 1QFY25, namun halangan struktur terus menjejaskan prospek pertumbuhan syarikat secara keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025 (FY25) kekal pada paras RM115 juta—sekitar 22% di bawah anggaran konsensus—berikutan jangkaan pelarasan purata harga jualan (ASP) yang terhad.

Katanya, persaingan industri yang semakin sengit terus menekan keupayaan pengeluar sarung tangan untuk memindahkan kos kepada pelanggan, sekali gus menyukarkan proses pemulihan margin.

Sementara itu, RHB Research berkata, pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas sebanyak 5% ke atas import lateks getah asli dan lateks nitril butadiena (NBR) dijangka meningkatkan kos pengeluaran antara 1.3% hingga 1.5% bagi setiap 1,00 keping sarung tangan.

Katanya, industri sedang bergelut dengan persaingan yang sengit dan keupayaan terhad untuk memindahkan kenaikan kos kepada pelanggan.

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "jual" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah RM1.23 sesaham.- DagangNews.com

standard