Pendapatan Lagenda dijangka meningkat pada 2HFY23 kesan kemasukan buruh asing, penggunaan IBS – AmInvest

Business & Finance
15 Jun 2023 • 12:24 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan Lagenda dijangka meningkat pada 2HFY23 kesan kemasukan buruh asing, penggunaan IBS – AmInvest

diyana

15/06/2023 - 12:24

KUALA LUMPUR 15 Jun - AmInvest Research menjangkakan pendapatan Lagenda Properties Berhad bertambah baik pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) memandangkan pembinaan dipercepatkan berikutan kemasukan buruh asing dan penggunaan sistem binaan berindustri (IBS).

Firma penyelidikan itu berkata penggunaan IBS untuk projek baharu dilancarkan iaitu Bandar Baru Setia Awan Perdana, Lagenda Teluk Intan dan Darulaman Lagenda dijangka memendekkan tempoh pembinaan kepada 1.5 hingga 2 tahun berbanding 2 hingga 2.5 tahun sebelumnya.

Oleh itu, firma itu percaya bahawa 60 hingga 70% daripada jualan belum dibil dalam suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berjumlah RM782 juta akan diiktiraf pada FY23.

“Dengan jangkaan kumpulan itu meningkatkan pelancaran baharunya berjumlah RM1.2 bilion pada baki suku tahun FY23, kami kekal optimistik terhadap pertumbuhan jualan hartanah dan pendapatan Lagenda bagi FY23,”katanya dalam nota hari ini.

AmInvest menyukai Lagenda memandangkan projek pembangunannya memberi tumpuan kepada perumahan bertanah mampu milik yang kurang mendapat perkhidmatan, menyasarkan populasi besar kumpulan pendapatan B40 dan M40.

Menurut firma itu, projek Darulaman Lagenda dengan nilai pembangunan kasar (GDV) pada RM384 juta telah terjual sebanyak RM175 juta atau 46%, manakala RM173 juta atau 45% telah ditempah.

Di samping itu, Lagenda berhasrat untuk menawarkan pakej rumah dengan kedua-dua pakej jualan tanah dan bangunan pilihan di Kampung Tersusun, di mana penjualan tanah berpotensi beri margin keuntungan kasar sebanyak 70% dengan purata harga jualan RM17 setiap kaki persegi berbanding kos tanah RM5 setiap kaki persegi.

Jelasnya, keuntungan tersebut mungkin meningkatkan lagi pendapatan Lagenda pada FY23 hingga FY25 memandangkan hasil jualan tanah akan diiktiraf serta-merta selepas menandatangani perjanjian jual beli, terutamanya pembeli dari kalangan kakitangan kerajaan akan berhak mendapat pembiayaan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk membeli tanah Kampung Tersusun.

“Kami percaya bahawa sebahagian besar tempahan berjumlah RM433 juta diperoleh pada 1QFY23 akan ditukar kepada jualan memandangkan kebanyakan pelanggan sasarannya adalah penjawat awam dengan kadar penukaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 90%.

“Memandangkan kadar pengambilan projeknya tinggi, inventori 1QFY23 yang siap dan tidak terjual adalah rendah pada RM33 juta,” tambahnya.

AmInvest mengekalkan unjuran pendapatan Lagenda dan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) pada RM1.81 sesaham.

Setakat pukul 12:16 tengahari ini, saham Lagenda didagangkan pada RM1.22, menokok 2 sen atau 1.7% dengan modal pasaran sebanyak RM1.02 bilion. -DagangNews.com