Pendapatan Meta & Facebook Atasi Jangkaan Pasaran, Catat Untung RM 35.33 Bilion

TechnologyBusiness & Finance
27 Jul 2023 • 11:24 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Pendapatan Meta & Facebook Atasi Jangkaan Pasaran, Catat Untung RM 35.33 Bilion

Pendapatan suku tahun syarikak induk Facebook, Meta dilapor melebihi jangkaan pasaran, yang didorong oleh peningkatan periklanan secara digital, lapor AFP.

Meta mencatatkan keuntungan sebanyak $7.8 bilion (RM35.33 bilion) daripada jumlah pendapatan kira-kira $32 bilion (RM144.96 bilion).

“Kami memiliki prestasi suku tahun yang baik. Kami melihat penyertaan pengguna yang kukuh merentasi pelbagai aplikasi dibawa Meta. Kami juga memiliki perancangan yang paling menakjubkan setakat ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Meta, Mark Zuckerberg.

Menurut AFP, Facebook mencatat jumlah pengguna aktif bulanan mencecah 3.03 bilon pengguna.

Sebelum ini, Meta berdepan beberapa kesukaran yang menjejaskan pendapatan tahunannya. Antaranya situasi ekonomi lemah pada 2022 yang menyaksikan banyak syarikat mengambil keputusan mengurangkan perbelanjaan termasuk perbelanjaan pengiklanan.

Selain itu, pendapatan Meta turut terjejas dengan perubahan polisi data peribadi Apple yang membenarkan penggunanya menyekat iklan bersasar, yang merupakan teras utama perniagaan Meta.

Namun, seperti beberapa syarikat teknologi yang berpengkalan di Amerika Syarikat (US), harga saham Meta pada kedudukan yang sangat baik pada 2023.

Hal ini dinyatakan oleh Zuckerberg pada Januari lepas, yang mana beliau menganggap 2023 sebagai ‘tahun untuk kecekapan’.

“Dengan pertumbuhan hasil pendapatan positif selama dua suku berturut-turut dan kadar pertumbuhan pendapatan pada suku pertama mencecah dua digit sejak akhir 2021, ‘tahun kecekapan Meta’ bermula dengan cemerlang,” jelas, Debra Aho Williamson.

Debra Aho Williamson merupakan seorang penganalisis daripada Insider Intelligence.

Dalam pada itu, harga saham Meta dilaporkan meningkat melebihi tujuh peratus iaitu kepada $320.32 dalam dagangan selepas pasaran.

Ketika dalam pembentangan berkenaan pendapatannya, syarikat itu berkata bahawa bilangan iklan dari pelbagai aplikasinya meningkat sebanyak 34 peratus pada suku kedua.

Pakar penganalisis memaklumkan bahawa ‘Reels’ telah menarik minat pengiklan untuk menggunakan platform Meta untuk tujuan periklanan.

Format video pendek yang diinspirasikan dari laman TikTok itu telah memberikan peluang kepada pengguna untuk mempromosi barangan dan perkhidmatan dengan mudah.

Konteks ekonomi yang lebih baik daripada tahun sebelumnya turut memberikan suasana yang kondusif terhadap pengguna untuk meningkatakan perbelanjaan untuk tujuan pemasaran.

Kata Zuckerberg, beliau melihat ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk menjana pendapatan menerusi fitur Reels.

Sumber: AFP