
TAWAU: Prestasi keseluruhan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah menunjukkan peningkatan amat cemerlang sejak Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Plus mengambil alih Kerajaan Negeri daripada 2020 sehingga kini, dengan pendapatan Majlis-Majlis Daerah dan Perbandaran bertambah sehingga 10 kali ganda.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih berkata, terdapat PBT sebelum ini yang hanya memperoleh lebihan sekitar RM70,000, kini mencecah lebih RM20 juta.
Menurutnya, selain Majlis Perbandaran Tawau (MPT) yang mencatatkan prestasi cemerlang dengan pendapatan lebih RM30 juta, majlis lain seperti Beaufort, Keningau dan Semporna turut menunjukkan prestasi membanggakan.
“Ini membuktikan mereka bekerja dengan baik dan bertanggungjawab. Kalau ada pihak menyatakan kerajaan gagal, mereka silap. Ini adalah kerajaan baik yang dipimpin oleh orang baik.
Kita kerajaan yang tidak banyak cakap tetapi kerajaan yang bekerja sehingga akhirnya kita mempunyai pendapatan cukup baik,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat mengekalkan Kerajaan GRS Plus yang sudah menunjukkan prestasi dari segi pendapatan negeri, termasuk kementeriannya, demi kesinambungan pembangunan Sabah dan akhirnya memanfaatkan rakyat secara keseluruhannya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Tawau Sesi 2025 - 2027 di Dewan Sri Tawau, di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui dan Presiden MPT, Joseph Pang.
Sementara itu, Isnin menyatakan kementeriannya sudah merangka cadangan untuk memberikan elauan bulanan antara RM300 – RM500 kepada ahli majlis yang dilantik berbanding elaun kehadiran mesyuarat ketika ini.
“Perkara ini akan dibawa kepada kabinet negeri untuk dibincangkan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi kelulusan, kerana sudah tiba masanya elaun mereka ditambah memandangkan memang tiada peningkatan dari dulu. Elaun mereka sekarang cuma RM100 untuk sekali mesyuarat,” katanya.
Menyentuh majlis itu, beliau meminta kerjasama kesemua 24 ahli yang dilantik agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada MPT demi pembangunan Tawau.
“Saya minta semua ahli majlis supaya aktif memberikan pandangan dan buah fikiran, serta memberikan kerjasama sebaiknya dan tidak ponteng untuk menghadiri mesyuarat yang hanya diadakan empat atau lima kali setahun.
“Pelantikan ini bukan bermakna satu keistimewaan, sebaliknya satu tanggungjawab dan amanah untuk membantu MPT agar dapat memberikan keselesaan kepada pengguna iaitu rakyat. Itu tugas kita,” katanya.
Pada majlis itu, seramai 24 ahli majlis MPT mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan. Mereka ialah Khanizman @ Abdul Ghanie Pakir Mohd, Sahrol Mahoolop, Ts Ismail Awang, Yap Wui Lip, Maria Wahiya, Maimuna Mahmud, Datuk Lim Yin Kat, Ajami Abdul Wahid, Said Hassan Said Idrus, Yusop Han Alai, Sammi Liew Sam Yi dan Tanwali Mohd Tahir.
Turut dilantik, Shahran Mankati, Muhammad Raiyan Fung Abdullah, Herry Anto Hasanuddin, Ryamond Sung Kok Loong, Nurul Afiqah Afendi, Marini Hassan, Gan Chee Chan, Latsender Lidan, Ho Shau Vui, Lim Men Heng, Mohammad Hafiz Amiruddin dan Sitti Nor Fadzilah Japar.




