Pendapatan pelaburan KWSP melonjak 51% kepada RM27.73 bilion pada suku pertama 2026

LocalBusiness & Finance
19 May 2026 • 6:14 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan pelaburan KWSP melonjak 51% kepada RM27.73 bilion pada suku pertama 2026 Image from: Pendapatan pelaburan KWSP melonjak 51% kepada RM27.73 bilion pada suku pertama 2026 hamden19/05/2026 - 18:14 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM27.73 bilion bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (S1 2026), meningkat 51% berbanding RM18.31 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Prestasi kukuh itu didorong terutamanya oleh peningkatan ketara pendapatan daripada portfolio ekuiti susulan strategi awal merealisasikan keuntungan ketika pasaran global masih mencatat momentum positif pada awal tahun.

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pencapaian suku pertama itu mencerminkan keputusan pelaburan strategik yang diambil lebih awal bagi menghadapi ketidaktentuan pasaran global.

 

Menurut beliau, pengurus portfolio KWSP telah mempercepatkan penjanaan pendapatan yang sepatutnya diagihkan sepanjang tahun susulan jangkaan peningkatan volatiliti pasaran akibat ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan ekonomi global.

 

“Ahli tidak seharusnya menjadikan prestasi suku ini sebagai petunjuk bagi tempoh seterusnya kerana pencapaian sebegini berkemungkinan tidak akan berulang pada suku-suku akan datang.

 

“Portfolio asas terus diurus untuk pulangan jangka panjang yang mampan dan bukannya pencapaian jangka pendek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau berkata, persekitaran pelaburan global dijangka kekal mencabar dengan risiko geopolitik yang tinggi, kenaikan harga minyak serta tekanan inflasi yang kembali meningkat dijangka memberi kesan kepada sentimen pasaran.

 

“Keutamaan kini adalah pemeliharaan modal dan pelaksanaan pelaburan secara berdisiplin bagi memastikan kecukupan serta kemampanan simpanan persaraan untuk lebih 18 juta ahli dalam jangka panjang,” katanya.

 

Prestasi Mengikut Kelas Aset

Bagi prestasi mengikut kelas aset, pendapatan daripada ekuiti melonjak 88% kepada RM20.34 bilion berbanding RM10.80 bilion pada S1 2025.

 

KWSP berkata, peningkatan itu didorong oleh kenaikan kebanyakan indeks utama dunia hasil sentimen pelabur yang bertambah baik pada awal suku pertama sebelum momentum mula perlahan menjelang Mac susulan peningkatan ketegangan geopolitik global.

 

Sementara itu, instrumen pendapatan tetap menyumbang RM6.76 bilion atau 24% daripada jumlah pendapatan pelaburan, sekali gus terus memainkan peranan sebagai komponen defensif utama dalam portfolio KWSP ketika pasaran berdepan ketidaktentuan.

 

Bagi segmen lain, hartanah dan infrastruktur merekodkan pendapatan RM0.19 bilion manakala instrumen pasaran wang menyumbang keuntungan RM0.44 bilion.

 

Dalam pada itu, jumlah aset pelaburan KWSP meningkat kepada RM1.44 trilion dengan 36% daripadanya dilaburkan di pasaran antarabangsa.

 

Pelaburan global menjana RM15.36 bilion atau 55% daripada jumlah pendapatan pelaburan suku berkenaan, mencerminkan kepentingan strategi kepelbagaian geografi dalam meningkatkan pulangan serta mengurus risiko portfolio.

 

Jumlah pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional pula berjumlah RM22.63 bilion manakala Simpanan Shariah menyumbang RM5.10 bilion.

 

Keahlian KWSP

Dari sudut keahlian, KWSP merekodkan 220,925 ahli baharu pada S1 2026 menjadikan jumlah keseluruhan ahli melebihi 18.3 juta.

 

Bilangan ahli aktif turut meningkat kepada 10.8 juta dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 59:41.

 

Selain itu, jumlah caruman meningkat 13.3% kepada RM38.01 bilion berbanding RM33.54 bilion dalam tempoh sama tahun lalu, disokong pertumbuhan berterusan caruman sukarela yang mencecah RM8.83 bilion.

 

KWSP turut memaklumkan jumlah ahli sektor formal yang mencarum melebihi kadar berkanun menerusi platform i-Topup meningkat 19.8% kepada 232,305 orang setakat suku pertama tahun ini. - DagangNews.com

Terkini standard