Pendapatan PropertyGuru meningkat 12% kepada S$35 juta pada suku kedua 2023 didorong pasaran Singapura, Malaysia
diyana
25/08/2023 - 16:06
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Pendapatan PropertyGuru Group Ltd meningkat 12% tahun ke tahun kepada S$35 juta pada suku kedua 2023 berbanding S$4 juta dalam tempoh sama tahun lalu, didorong pasaran Singapura dan Malaysia, serta segmen perkhidmatan teknologi kewangan (fintech).
Syarikat itu mencatatkan kerugian bersih S$6 juta, serta pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) terlaras meningkat secara positif kepada S$5 juta bagi suku dalam tinjauan daripada S$0.3 juta pada suku kedua 2022.
Dalam satu kenyataan media hari ini, PropertyGuru berkata pendapatan bagi pasaran Singapura melonjak 25% kepada $22 juta, manakala untuk pasaran Malaysia, pendapatannya meningkat 12% kepada S$7 juta.
Tambahnya, segmen perkhidmatan teknologi kewangan (fintech) dan data turut menyaksikan lonjakan sebanyak 47% kepada S$1.5 juta.
Bagaimanapun, katanya, pasaran Vietnam merosot 27% kepada S$5 juta dalam suku semasa disebabkan cabaran makro yang berterusan di Vietnam, di mana campur tangan kerajaan tahun lalu dalam pasaran hartanah terus memberi kesan kepada sentimen pengguna dan jumlah urus niaga.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Hari V. Krishnan berkata syarikat itu memberi tumpuan dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) generatif, yang telah memperkukuhkan produk peneraju pasaran, sambil memacu peningkatan dalam kualiti kod dan produktiviti kejuruteraan.

“Pada Jun, kami telah melancarkan GuruPicks, rumusan hartanah automatik dan diperibadikan berdasarkan algoritma pembelajaran mesin dan menaik taraf enjin penapisan imej AI kami bagi meningkatkan kualiti penyenaraian.
“Awal minggu ini, kami membuat keputusan strategik untuk menghentikan perniagaan pasaran Indonesia kami, Rumah.com, dan menghentikan salah satu produk SaaS kami, FastKey.
“Tindakan ini sejajar dengan pendekatan untuk menumpukan pelaburan kami kepada perniagaan dengan ekonomi unit kukuh yang telah menunjukkan potensi untuk mencapai pertumbuhan berskala,” katanya.
Mengulas tentang prospek syarikat bagi keseluruhan tahun kewangan 2023 (FY23), PropertyGuru berkata ia terus mengunjurkan pendapatannya antara S$160 juta dan S$170 juta dan EBITDA terlaras daripada S$11 juta hingga S$15 juta, walaupun pendapatannya muingkin di bawah jumlah disebabkan pasaran Vietnam yang mencabar.
Bagi jangka panjang, syarikat itu kekal yakin terhadap trajektori pertumbuhannya, prospek yang akan meningkatkan keuntungan dan peluang asas yang wujud dalam pasaran utamanya. - DagangNews.com
