Pendapatan teras MBM Resources diunjur turun 20% pada FY24 kesan kelembapan industri kereta – Apex Securities

Business & Finance
14 Mar 2024 • 11:23 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan teras MBM Resources diunjur turun 20% pada FY24 kesan kelembapan industri kereta – Apex Securities

diyana

14/03/2024 - 11:23

KUALA LUMPUR 14 Mac - Apex Securities mengunjurkan pendapatan teras MBM Resources Berhad menurun 20% tahun ke tahun (YoY) pada tahun kewangan 2024 (FY24) sebelum pulih sedikit 3.8% YoY dalam FY25 seiring dengan jangkaan kelembapan seluruh industri.

“Ramalan kami adalah berdasarkan andaian bahawa momentum jualan Perodua kekal didorong keluaran model baharu dan pesanan tertunggaknya yang kukuh, serta permintaan untuk kereta segmen premium berkemungkinan merosot disebabkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan potensi cukai barangan bernilai tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Firma penyelidikan itu memulakan liputan ke atas syarikat automotif terbabit dengan saranan ‘pegang’ dan menilainya pada harga sasaran (TP) RM4.42 berdasarkan pendapatan sesaham (EPS) terasnya bagi FY24 sebanyak 66 sen ditambat kepada harga kepada pendapatan (PE) 6.6 kali.

Ia menjangkakan jualan kereta Perodua menurun sedikit kira-kira 1.5% YoY kepada 320,000 unit namun percaya sasaran jualan itu boleh dicapai, memandangkan kadar pengeluaran tanpa gangguan yang dijangka berterusan sepanjang tahun dan pesanan tertunggak Perodua melebihi 120,000 unit.

Firma itu menambah bahawa MBM Resources akan menikmati kelebihan yang lebih besar berbanding pesaingnya, berikutan penekanan Perodua pada segmen mampu milik, justeru tidak terkesan oleh cukai barangan bernilai tinggi yang akan dilaksana bermula May 2024.

Menurut Apex Securities, MBM Resources menjadi pilhannya kerana hubungannya dengan Perodua, yang memegang kedudukan dominan dalam pasaran Malaysia dan memiliki rizab kewangan yang besar, dengan kedudukan tunai bersih melebihi RM180.9 juta.

Selain itu, katanya, MBM Resources dijangka akan mengekalkan aliran tunai operasi yang positif dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan perbelanjaan modal minimum antara RM6 juta hingga RM9 juta.

“Walaupun kami menyukai pendedahan MBM Resources kepada jenama nasional dan hasil dividennya yang menarik, kami percaya bahawa harga saham semasa telah mencerminkan pemacu positif yang secukupnya dan penilaian itu kelihatan adil pada masa ini,” tambahnya.

Setakat pukul 11:21 pagi ini, saham MBM Resources telah susut 3 sen atau 0.7% kepada RM4.39 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM1.7 bilion. - DagangNews.com