Pendatang tanpa izin di Sabah: Kerajaan tidak serius laksana syor RCI

LocalPolitics
8 Mar 2026 • 12:04 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata Kerajaan Persekutuan dilihat tidak menunjukkan kesungguhan dalam melaksanakan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin (PTI) di Sabah apabila jawatankuasa pemantau hanya bermesyuarat sebanyak 13 kali dalam tempoh lebih sedekad.

Madius meluahkan kekecewaannya susulan jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap soalan lisannya yang dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat.

Beliau meminta penjelasan mengenai kemajuan konkrit yang telah dicapai sejak laporan RCI diserahkan kepada kerajaan pada 2014 bagi menangani kesan berpanjangan daripada apa yang dikenali sebagai Projek IC di Sabah.

Menurut jawapan kementerian, RCI mengenai pendatang tanpa dokumen ditubuhkan pada 2012 dan laporannya diserahkan kepada kerajaan pada 2014. Susulan itu Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS) ditubuhkan pada 3 Disember 2014.

“Sejak jawatankuasa itu ditubuhkan kementerian memaklumkan hanya 13 mesyuarat telah diadakan.

“Dalam tempoh lebih 10 tahun jumlah itu dilihat tidak mencapai purata sekali setahun. Ini menunjukkan kerajaan tidak benar-benar serius menangani isu yang amat penting kepada rakyat Sabah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli itu turut mempersoalkan kandungan mesyuarat berkenaan yang menurutnya lebih tertumpu kepada perkara pentadbiran dan operasi seperti pelaksanaan Sistem Pengurusan Bersepadu Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin di Sabah (SWIMS) serta pemberian moratorium penguatkuasaan, bukannya pelaksanaan menyeluruh terhadap syor utama RCI.

“Apa yang dibincangkan kebanyakannya berkaitan hal semasa dan pengurusan pentadbiran, bukannya pelaksanaan komprehensif syor RCI. Jika begitu apakah tujuan penubuhan RCI dan penghasilan laporan terperinci sekiranya syor-syornya tidak dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Jawapan bertulis kementerian itu turut mendedahkan bahawa Mesyuarat JKPWAS ke-13 yang diadakan pada 14 Ogos 2025 antara lain memutuskan untuk melanjutkan Program Pendaftaran Digital Warga Asing melalui SWIMS sehingga 31 Disember 2028 serta memberi moratorium kepada pekerja asing yang telah berdaftar dalam sistem tersebut.

Sehingga 31 Disember 2025 seramai 122,228 pekerja asing telah didaftarkan dalam sistem berkenaan dengan 67.3 peratus dikenal pasti sebagai pekerja tanpa dokumen.

Madius berkata isu PTI di Sabah melangkaui pengurusan data atau moratorium sementara sebaliknya berkait rapat dengan kedaulatan negeri, keselamatan serta hak perlembagaan rakyatnya.

“RCI diwujudkan untuk menyelesaikan masalah besar yang telah lama membebankan negeri ini. Jika selepas lebih 10 tahun hanya 13 mesyuarat diadakan dan tiada pelaksanaan menyeluruh terhadap syor utama ini jelas mencerminkan kurangnya kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikan isu pendatang tanpa dokumen untuk selamanya,” katanya.

Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan menunjukkan komitmen politik yang lebih kukuh serta menetapkan garis masa khusus bagi melaksanakan syor utama RCI demi memulihkan keyakinan rakyat Sabah bahawa isu tersebut benar-benar ditangani.