
KENINGAU: Program Cabaran Kokurikulum Kadet Bomba Peringkat Negeri Zon 4 yang berlangsung di Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau berjaya memberi pendedahan dan kesediaan kepada pelajar dalam menghadapi situasi kecemasan.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Tambunan Applonius Jaimi berkata, program seumpama itu penting dalam membina kekuatan fizikal dan mental para peserta sekali gus memberi kesedaran terhadap peranan pelajar sebagai individu yang mampu bertindak dalam situasi kecemasan.
“Melalui pelbagai pertandingan berkaitan asas kebombaan pelajar bukan sahaja terlatih secara teknikal malah diajar daripada segi disiplin dan semangat kerjasama.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Ia juga membuka peluang kepada mereka untuk membantu secara sukarela kepada masyarakat yang memerlukan sekiranya berdepan sebarang kecemasan khususnya kebakaran,” katanya ketika merasmikan program terbabit.
Program anjuran bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau dan Pejabat Pendidikan Daerah itu disertai oleh seramai 178 pelajar mewakili lima daerah iaitu Keningau, Tenom, Nabawan, Tambunan dan Sook.
Juara keseluruhan pertandingan dimenangi oleh pasukan dari daerah Keningau.
Salah seorang peserta Welson Tony dari Tambunan berpendapat pengalaman yang diperoleh memberi inspirasi kepadanya untuk menjadi anggota bomba satu hari nanti.
“Pelbagai pengalaman dan pengetahuan diperolehi sepanjang program. Saya berharap dapat menjadi anggota bomba seperti yang mengajar kami sebelum ini,” ujarnya.
Sementara itu Aliza Jaunadin dari Nabawan menyuarakan harapannya agar ilmu yang dipelajari dapat dimanfaatkan.
“Semoga yang kami pelajari ini dapat dimanfaatkan untuk membantu masyarakat selain berguna buat diri sendiri,” katanya.



