Pendedahan TH keperluan perbetul kepincangan, bukan burukkan jenama Islam

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 2:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pendedahan TH keperluan perbetul kepincangan, bukan burukkan jenama Islam

BANGI: Pendedahan salah laku dan kelemahan pengurusan Tabung Haji (TH) melalui laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bukan kerana institusi itu membawa imej Islam, sebaliknya berasaskan keperluan memperbetulkan kepincangan yang dikenal pasti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan sama turut digunakan terhadap institusi lain termasuk Felda dan tindakan sedemikian tidak seharusnya dijadikan isu kaum atau agama.

“Ada pula seorang pemimpin parti Islam dia kata, asyik hendak kena tindakan ini, kena tindakan kepada badan-badan (agensi) Melayu dan Islam. Kita ambil tindakan sebab itu bawah kerajaan.

“Kalau ada kita kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan. Jangan jadikannya ini sebagai permasalahan kaum atau agama. Kita ambil tindakan. Kita tak tanya itu syarikat Melayu ke syarikat kerajaan. Kalau ada kita kenal pasti masalah, kita akan ambil tindakan.

“Jangan jadikannya ini sebagai permasalahan kaum atau agama,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Pengurusan Tertinggi dan Pengurus Felda 2026 di sini hari ini.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pemimpin, namun kenyataan Perdana Menteri itu menyusul selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa isu berkaitan TH dijadikan sasaran kerana institusi itu membawa jenama Islam.

Abdul Hadi berkata, penyelewengan dan salah laku memang berlaku dalam institusi kewangan Islam, namun mendakwa kepincangan lebih besar di institusi lain tidak mendapat perhatian sama.

Anwar berkata, dalam kes TH, orang Melayu dan Islam sepatutnya lebih tegas memastikan institusi yang membawa imej Islam diurus dengan baik kerana mereka perlu menunjukkan contoh dalam soal pengurusan, akhlak dan nilai.

“Seperti dalam TH, malah kalau tanya saya, orang Islam dan Melayu patut lebih sungguh-sungguh, lebih teliti dalam soal pengurusan, akhlak dan nilai,” katanya. – UTUSAN

The post Pendedahan TH keperluan perbetul kepincangan, bukan burukkan jenama Islam appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved