
Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak menggesa pendekatan politik baharu yang lebih adil, inklusif dan berdasarkan merit, bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negeri berterusan.
Beliau berkata Sabah yang kaya dengan kepelbagaian etnik, agama dan budaya memerlukan sistem politik yang menghormati dan melibatkan semua masyarakat secara bermakna.
“Kepelbagaian ini menuntut pendekatan politik yang adil dan inklusif, di mana setiap komuniti berasa dihormati dan terlibat sama,” katanya dalam laman Facebook-nya.
Salleh, yang juga Adun Usukan, menekankan kepentingan meritokrasi perwakilan dalam pelantikan kepimpinan, supaya mereka yang dipilih bukan sahaja mencerminkan masyarakat majmuk Sabah tetapi juga benar-benar berkelayakan, berkebolehan dan berintegriti.
Beliau juga menggesa agar tiga kumpulan utama — Bumiputera Islam, Bumiputera bukan Islam serta bukan Bumiputera — diberi perwakilan yang bermakna dalam kerajaan.
“Mereka mesti diamanahkan dengan tanggungjawab sebenar, bukan hanya peranan simbolik,” tambahnya.
Selain itu, beliau menyatakan bahawa parti politik utama dengan sokongan meluas merentasi kawasan pilihan raya, juga harus diberi peranan dalam struktur perkongsian kuasa. Bagaimanapun, beliau menegaskan merit mesti kekal sebagai asas kepada semua pelantikan.
“Ini adalah intipati akomodasi politik — semangat kerjasama antara masyarakat dan parti demi kestabilan, keadilan dan perpaduan dalam tadbir urus,” katanya.
Salleh juga menegaskan bahawa merealisasikan pendekatan ini memerlukan iltizam politik yang tulen dan berani, berakar umbi dalam sikap saling menghormati dan visi bersama untuk masa depan Sabah.
Menurutnya, pendekatan ini selari dengan semangat asal di sebalik pembentukan rangka kerja politik Sabah — dibina atas persefahaman, kerjasama dan perkongsian kuasa yang adil dalam kalangan masyarakat — dan mencerminkan nilai perlembagaan yang mengutamakan keseimbangan, keterangkuman dan autonomi wilayah.
“Apa yang paling penting untuk bergerak ke hadapan ialah membina model tadbir urus yang inklusif, cekap dan berasaskan tanggungjawab bersama, di mana setiap komuniti dan wilayah memainkan peranan yang bermakna dalam membentuk masa depan Sabah,” katanya.
