Pendekatan nokhtah kemiskinan tegar tanpa diskriminasi - PM

LocalPolitics
22 Oct 2024 • 12:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pendekatan kerajaan untuk menamatkan kemiskinan tegar adalah tanpa mengira kaum, dengan semua warganegara yang memerlukan bantuan akan disokong tanpa diskriminasi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, walaupun majoriti penduduk miskin di negara ini terdiri daripada masyarakat Melayu dan bumiputera, namun semua kaum, termasuk Cina dan India yang terkesan, akan mendapat bantuan.

"Memang benar, majoriti adalah Melayu, tetapi dalam kategori miskin, ada juga kadar yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat India. Contohnya, di Kuala Lumpur, walaupun majoriti Melayu, masyarakat India juga signifikan dan mempunyai jumlah penduduk yang tinggi.

"Namun, dalam usaha kita menyelesaikan kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, kita tidak akan membahagikan berdasarkan kaum.

"Oleh itu, kita akan menangani semua yang miskin, termasuk jumlah kecil dalam kalangan masyarakat Cina dan jumlah yang lebih besar dalam kalangan masyarakat India.

"Tidak benar jika dikatakan (usaha untuk menoktahkan kemiskinan tegar) hanya untuk Melayu, tetapi memang jumlah tersebut adalah besar dan majoriti dalam kalangan masyarakat Melayu.

"Saya harap penjelasan ini memberikan kejelasan, dan jika ada kenyataan sebaliknya, mohon maklum kepada saya kerana ini bertentangan dengan dasar kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

AKAN MENYUSUL