
PITAS: Kerajaan Persekutuan akan membantu sedaya upaya bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat terus diperkasakan, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 (PRU DUN17) Sabah, beliau mengucapkan tahniah kepada pemenang, khususnya kerajaan negeri serta barisan Kabinet baharu yang dibentuk baru-baru ini.
Menurut Hanifah, kemenangan tersebut merupakan mandat rakyat yang menentukan kepimpinan pilihan mereka untuk meneruskan agenda pembangunan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Karnival Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Bersasar Negeri Sabah 2025 bagi Daerah Pitas, bertemakan “Tiada Siapa Yang Tertinggal”, yang berlangsung di Dataran Bengkoka, di sini, pada Sabtu.
Program berkenaan dianjurkan bersama Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) dan turut dihadiri Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Hashim Paijan.
Hanifah berkata Pitas merupakan antara daerah yang paling mencabar dari segi pembangunan, mengambil kira jarak kampung yang berjauhan, keadaan jalan kecil dan berbukit, serta jurang kemudahan asas yang masih belum seimbang.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan SDG bersasar dilaksanakan bagi memastikan bantuan kerajaan sampai tepat kepada sasaran, khususnya kampung, keluarga dan rakyat yang benar-benar memerlukan.
Pendekatan berkenaan, katanya, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, terutama SDG 11 yang menekankan pembinaan komuniti selamat dan sejahtera, di mana pembangunan tidak boleh dilaksanakan secara umum semata-mata, sebaliknya perlu berpandukan realiti kehidupan masyarakat setempat.
“Karnival ini menjadi platform untuk rakyat berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat, bantuan, peluang pekerjaan serta perkhidmatan kesihatan.
“Antara pengisian program ialah pameran perkhidmatan kepada rakyat melibatkan Persatuan Pelancongan Pitas, Jabatan Pendaftaran Negara, Pejabat Kesihatan Pitas, Kolej Komuniti, jualan Rahmah Madani, karnival kerjaya, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan percuma, gunting rambut percuma untuk pelajar, gerai makanan dan minuman serta agihan bakul makanan kepada kumpulan B40,” katanya.
Beliau berkata program berkenaan juga membuka ruang kepada kerajaan untuk mendengar secara langsung permasalahan rakyat bagi membolehkan perancangan tindakan yang lebih tepat dan pantas, selaras dengan prinsip SDG bersasar yang berpaksikan suara rakyat.
Hanifah berkata kajian oleh pelbagai pihak menunjukkan Daerah Pitas mempunyai cabaran unik berbanding daerah lain di Sabah, antaranya keluasan kawasan, jarak kampung yang jauh, akses bekalan air dan elektrik yang tidak stabil serta keperluan pembaikan di sebahagian sekolah.
Justeru, katanya, setiap dasar dan program pembangunan perlu dirangka secara lebih khusus, dengan mengambil kira keadaan sebenar kampung-kampung di Pitas dan bukan berdasarkan gambaran keseluruhan negeri semata-mata.
Beliau turut memaklumkan telah menghadiri taklimat Pejabat Daerah Pitas mengenai Pelan Pembangunan Strategik Daerah Pitas 2024–2035, yang disifatkannya sebagai pelan menyeluruh bagi hala tuju masa depan daerah berkenaan.
“Antara fokus pelan itu ialah peningkatan kemudahan asas dan infrastruktur, pembangunan pusat pertumbuhan baharu, pengukuhan ekonomi tempatan berasaskan keusahawanan dan peluang pekerjaan, pemerkasaan belia, wanita dan komuniti adat, transformasi sektor pelancongan, pertanian dan perkhidmatan, pendigitalan perkhidmatan serta jaringan komunikasi, pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan risiko bencana,” katanya.
Menurut Hanifah, meskipun pelbagai projek telah dan sedang dilaksanakan, masih terdapat keluarga yang belum menikmati kemudahan sepenuhnya, selain kawasan yang masih bergantung kepada jalan tanah dan sumber air terhad, sekali gus memerlukan pendekatan bersasar yang lebih teliti.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk Pitas memanfaatkan ruang sedia ada untuk menyuarakan permasalahan dan cadangan, termasuk keperluan mendesak, kerana suara rakyat merupakan asas utama kepada perancangan pembangunan.
Katanya, kerajaan sentiasa bersedia untuk mendengar dan bekerjasama dengan rakyat, kerana pembangunan yang berkesan hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara kerajaan dan masyarakat.
Turut hadir pada program itu ialah Pengarah Pusat SDG Negara, Kementerian Ekonomi, Asfaazam Kasbani; Komander Esscom, DCP Datuk Victor Sanjos; Pengarah Kemajuan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mohd Jamil @ Jomiun Abdullah; Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah, Tseu Kei Yue; serta Penolong Pegawai Daerah Pitas, Jasri Juki selaku tuan rumah.
