Pendekatan Sesuai Akan Diteliti, Jaga Kebajikan Pengamal Media Tempatan - PM

LocalPolitics
16 Nov 2025 • 4:37 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan meneliti pendekatan yang sesuai bagi memastikan kebajikan pengamal media di seluruh negara kekal terpelihara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, industri media tempatan perlu memperkenalkan rangka kerja gaji minimum masing-masing, sekali gus meningkatkan martabat profesion tersebut. 

Tegas Perdana Menteri, beliau telah menerima aduan daripada beberapa pengamal media di Sabah yang hanya menerima gaji kurang daripada RM2,000 sebulan walaupun telah bekerja dalam bidang itu selama sedekad.

“Berhubung hal (gaji minimum) ini, saya akan bincang lanjut dengan (Datuk) Fahmi (Fadzil) yang menjaga hal ehwal komunikasi. Adakan mesyuarat dengan semua pihak, termasuk syarikat media. L

“Saya rasa ia sesuatu yang munasabah. Industri media hari ini tidak seperti dulu, bukan sekadar kerana persaingan daripada media sosial, tetapi saya rasa jika seseorang telah bekerja selama 10 tahun sebagai senior dan masih menerima gaji sedemikian, ia memang sukar,” katanya.

Mengakui simpati dan terkejut apabila diberitahu mengenai isu itu, Anwar berkata, senario terbabit sama sekali tidak boleh diterima. 

“Peranan media amat kritikal ketika ini tatkala kebanjiran maklumat palsu, fitnah dan manipulasi politik menular. 

“Media yang beretika dan berimbang adalah benteng kebenaran serta pemangkin kepercayaan rakyat,” katanya.

Perdana Menteri menarik perhatian, beliau sebelum ini telah mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk menetapkan gaji minimum sekurang-kurangnya RM3,100.

“Itu mesej kepada sektor swasta, yang sedang kita pertimbangkan. Kerana harga dan kos sara hidup telah meningkat. Saya akan teliti perkara ini (gaji minimum media), bukan sahaja di Sabah tetapi di seluruh negara.

“Saya akan minta Fahmi menghantar laporan berkaitan isu media di negeri ini. Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan. Jika kita tidak dapat memberikannya secara langsung, mungkin kita boleh menawarkan insentif tertentu kepada syarikat media supaya mereka boleh menggunakannya untuk menaikkan gaji dan elaun,” katanya.

Sementara itu menerusi perkongsian di Facebook Anwar berkata, kerajaan telah memutuskan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak bagi memperkukuh prinsip perwakilan yang adil dalam sistem demokrasi negara.

Tegas beliau, kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini adalah tentang rekod kerja dan segala yang telah dilaksanakan kerajaan sepanjang tiga tahun mentadbir negara.

“Sekitar RM15 bilion telah diperuntukkan untuk STR dan SARA; kenaikan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah telah dilaksanakan buat pertama kali selepas 12 tahun; gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700; dan semua ini memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah.

“Bahkan, sembilan daripada 13 tuntutan MA63 telah kita tunaikan dalam tempoh tiga tahun, satu pencapaian yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Kerajaan MADANI juga menaikkan Pemberian Khas Sabah kepada RM600 juta, yang tertinggi dalam sejarah,” katanya. 

Jelas beliau, kadar tersebut hanya bersifat sementara kerana sasaran sebenar kerajaan ialah melaksanakan pemberian berdasarkan 40 peratus hasil, selepas kadarnya dipersetujui oleh Persekutuan dan Negeri. 

“Rundingan rasmi mengenai perkara ini akan bermula Isnin ini. Yang wajar dipersoalkan hari ini ialah wakil-wakil rakyat terutama di Sabah, yang pernah menjadi Menteri, Timbalan Menteri, Ketua Menteri. 

“Apa sebenarnya yang kalian lakukan ketika berkuasa, selain membiarkan rakyat kamu terus bergelut dengan masalah asas seperti air, elektrik dan jalan raya?

“Saya percaya urang Sabah cukup bijak untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar mahu bekerja menyelesaikan masalah warisan ini, bukan mereka yang hanya sibuk mengaut kekayaan untuk diri sendiri,” katanya. - Getaran, 16 November 2025