
Kota Kinabalu: Pendekatan mudah atau “tidak melampau” adalah formula terbaik untuk memajukan umat Islam tanpa menjejaskan kedudukan orang bukan Islam, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata pendekatan itu amat sesuai bagi menjamin keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya seperti yang wujud di Sabah, negeri yang menjadi rumah kepada 33 kumpulan peribumi yang menuturkan 50 bahasa dan 80 dialek etnik.
“Justeru, tidak dinafikan kesederhanaan yang kita amalkan amat penting dalam mengekalkan dan memupuk keharmonian dan perpaduan dalam negeri dan negara berbilang agama,” katanya.
Hajiji berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Mesyuarat Perdana Menteri Agensi Agama Se-Malaysia kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Rabu lepas. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerikan perasmian konvensyen itu.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus melaksanakan program keagamaan dan kerohanian dengan memperuntukkan sejumlah RM176.16 juta tahun ini untuk perbelanjaan operasi.
Menurutnya, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab Kerajaan untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera.
“Perbezaan agama bukan penghalang untuk kita hidup dalam suasana harmoni dan aman, ia juga tidak akan menjadi punca untuk kita hidup permusuhan turun-temurun.
“Agama menyeru kita beramal dan memupuk perpaduan, di samping menghayati nilai-nilai murni, hormat-menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.
Apatah lagi dalam agama Islam itu sendiri yang asasnya ialah keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan hidup,” katanya.
Hajiji berkata, pentadbiran Islam di Malaysia telah berkembang pesat seiring dengan perubahan dan kemajuan yang dicapai lebih 60 tahun sejak merdeka.
Beliau berkata penganjuran program ijtimak itu dapat memberi pencerahan terhadap beberapa isu berkaitan hal ehwal agama, selain memberi kefahaman yang jitu dalam hal ehwal agama Islam antara agensi agama terbabit.
Beliau berkata, jaringan kerjasama dan perpaduan antara agensi agama Persekutuan dan agensi agama di negeri-negeri perlu diteruskan ke arah pengemaskinian dan pemantapan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama Islam di negara ini demi kepentingan masyarakat Islam keseluruhannya.
Hajiji berkata ia akan memastikan agensi agama Islam tidak ketinggalan, malah selari dengan urusan pentadbiran kerajaan di negara ini.
Ini kerana, katanya kebersamaan dan perpaduan adalah kekuatan kepada agensi agama dalam menghadapi cabaran mengurus hal ehwal Islam yang semakin mencabar.
Hajiji juga yakin program ijtimak itu akan menambah baik pengurusan hal ehwal agama Islam di negeri-negeri di Malaysia termasuk di Sabah.
“Pengurusan hal ehwal Islam berbeza dengan pengurusan biasa kerana peranannya bukan sekadar pentadbiran tetapi menjadi sumber rujukan dan panduan dalam kehidupan masyarakat atau umat Islam sepanjang masa.
“Perkara ini selaras dengan teras ‘Madani Malaysia’, malah selaras dengan matlamat pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pembangunan dan pemerkasaan modal insan bagi menjelmakan kreativiti insan dan akhlak terpuji,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

