
KUALA LUMPUR - Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini, atas lima pertuduhan melakukan penderaan seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun sejak tahun lalu.
Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aishah Ab Rashid.
Berdasarkan tiga pertuduhan berasingan, tertuduh didakwa melakukan penderaan seksual fizikal termasuk memaksa mangsa melakukan seks oral.
Ketika kejadian, mangsa merupakan pelajar di bawah jagaan tertuduh yang bertugas sebagai guru kelasnya.
Kesalahan tersebut didakwa berlaku di bawah sebatang pokok di kawasan taman Arowana Apartment, Seremban 2, serta di sebuah kediaman di Taman Nusa Intan, Seremban, antara 12 September 2025 hingga 7 April 2026.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 16 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta sekurang-kurangnya dua sebatan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa atas dua pertuduhan penderaan seksual bukan fizikal kerana menghantar gambar alat sulitnya kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp untuk tujuan kepuasan seksual.
Beliau juga didakwa menggalakkan mangsa menghantar gambar lucah secara timbal balik antara 13 September 2025 hingga 10 April 2026 di sebuah unit apartmen di Seremban 2.
Bagi kesalahan berkenaan, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni mencadangkan jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan termasuk keperluan melapor diri di balai polis setiap bulan, larangan menghubungi mangsa atau saksi pendakwaan, serta penyerahan pasport kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam bela Zaflee Pakwanteh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya berpendapatan RM6,000 sebulan sebagai seorang pendidik serta merupakan seorang isteri dan ibu kepada dua orang anak.
Pihak pembelaan mencadangkan jaminan yang lebih rendah iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan.
Pihak pembelaan turut memaklumkan bahawa tertuduh telah dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah selepas laporan polis pertama dibuat terhadapnya.
Peguam pemerhati Nurul Ain Syamimie Anuar dari firma guaman Zahid Ahmad and Associates turut hadir semasa prosiding.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM25,000 bagi semua lima pertuduhan, serta mengekalkan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan. - Getaran, 20 Mei 2026






