SHAH ALAM, 30 SEPT: Warga pendidik khususnya guru di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diseru menitikberatkan nilai wasatiyyah dalam menyampaikan ilmu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penerapan nilai wasatiyyah membantu anak-anak tidak mudah terperdaya dengan elemen ekstrem.
“Hari ini dianjurkan seminar wasatiyyah dan membendung ekstremisme membantu warga pendidik dalam menitikberatkan nilai wasatiyyah dalam menyampaikan ilmu.

“Seminar ini membantu mereka dalam mendidik anak-anak supaya tidak mudah terperdaya dengan elemen ekstrem atau melampaui batas. Harus diingat melampaui batas bukan sahaja dalam konteks hubungan antara kaum tetapi juga dalam beragama.
“Peringatan ini penting supaya anak-anak boleh menepis dan buat pertimbangan sewajarnya dalam membuat keputusan.
“Malah, saya berharap dengan penganjuran wacana ini warga pendidik dapat bertukar pendapat, kelak dapat melahirkan generasi yang mempunyai masa depan yang kental,” katanya hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Seminar Wasatiyyah dan Membendung Ekstremisme di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam yang merupakan kerjasama Asatizah Selangor (ANAS) dan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jais.

The post Pendidik diseru titik berat nilai wasatiyyah, bantu anak tidak terperdaya elemen ekstrem appeared first on Selangorkini.
